Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas banduan laku khianat di kediaman, kedutaan Rusia ditahan
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 6:15 AM
Dikemaskini: 10:57 PM

Seorang bekas banduan ditahan selepas melakukan perbuatan khianat berhampiran premis kediaman Kedutaan Rusia di Jalan Nipah di ibunegara dalam kejadian kira-kira 10 malam kelmarin.

Lelaki berusia 43 tahun itu telah mencabut papan tanda di luar premis terbabit sebelum kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan di premis itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pengawal itu kemudian menjerit meminta orang awam yang melalui kawasan itu membantu menangkap suspek sebelum dia diserahkan kepada pihak polis.

"Lelaki berkenaan dipercayai cuba mencuri papan tanda itu mungkin kerana menyangka ia diperbuat daripada tembaga," katanya dalam sidang media semalam.

Sebelum itu, pada awal pagi Isnin lepas, lelaki berkenaan ke Kedutaan Rusia di Jalan Ampang, kira-kira 800 meter dari premis kediaman kedutaan itu dan bertindak memanjat tembok batu premis, bergayut di tiang kamera litar tertutup (CCTV) serta menendang kamera berkenaan sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri.

Mohamad Roy Suhaimi berkata hasil siasatan dan berdasarkan pemeriksaan CCTV mendapati lelaki berkenaan adalah orang yang sama memanjat tembok dan merosakkan CCTV di premis kedutaan asing di Jalan Ampang.

"Setelah merosakkan CCTV itu, lelaki itu terus turun dari tembok dan meninggalkan premis berkenaan," katanya.

Siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan baru dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 23 Ogos lepas setelah menjalani hukuman selama enam bulan atas kesalahan dadah.

Mohamad Roy Suhaimi berkata sehingga kini, pihaknya masih menyiasat motif kejadian atau sama ada lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut.

Polis kini menunggu laporan daripada Jabatan Penjara mengenai suspek, katanya.

Suspek ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat ini, tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS