Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rakyat kini tidak kisah siapa yang akan menjadi perdana menteri yang seterusnya asalkan pemimpin itu tidak rasuah dan takutkan tuhan.

Perkara itu diluahkan oleh sebilangan warga kota dalam tinjauan Malaysiakini selepas parti BERSATU, menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala PKR pula meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri seandainya kerajaan baru ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU).

Suri rumah Yee Fong Heng tidak kisah siapa yang harus menjadi perdana menteri asalkan mereka tidak mementingkan diri sendiri serta berusaha memulihkan ekonomi negara yang menurutnya kian merudum.

“Saya tak kisah siapa yang menang asalkan takut tuhan, tidak ambil rasuah dan tak pentingkan diri sendiri.

“Sebagai pemimpin dia perlu pentingkan negara melebihi diri sendiri. Kita tak mahu pemimpin yang diberi kuasa tapi makan duit rakyat," kata wanita berusaia 52 tahun yang mendakwa negara "sudah macam hilang berkat”.

Pekerja swasta Ruebendran Amarjitsingh pula berkata beliau sukar menamakan siapa calon yang benar-benar layak sehinggalah mereka memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mahukan pemimpin baru yang boleh mengubah ekonomi negara ke arah yang lebih baik berbanding sekarang.

“Saya tak nak menamakan siapa perdana menteri seterusnya tapi apa yang saya nak adalah ubah Malaysia kerana ekonomi kita jatuh teruk.

“Kita nak muka baru yang ubah negara. Di berita, kita baca berita setiap hari dan kuasa sosial media sangat besar. Kita tak kisah siapa (perdana menteri) asalkan boleh ubah negara ini.

“Semua orang ada pendapat peribadi sebab kita tak tahu siapa yang layak sehingga mereka dah ada jawatan,” kata Amarjitsingh yang berusia 34 tahun itu.

Manakala pekerja swasta Ganneesh Ramaa pula berpandangan Anwar adalah individu yang paling layak mengisi jawatan perdana menteri.

Malah katanya, Anwar berupaya berbahasa Inggeris dengan baik sekaligus boleh meyakinkan negara luar mengenai polisi negara ini.

“Kita pilih Anwar kerana dia berupaya bercakap dalam bahasa Inggeris bagi meyakinkan dunia mengenai Malaysia. Saya tak mahu perkara yang sama jadi seperti (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) di United Nation berulang.

“(Seperti Muhyiddin) saya tak rasa dia ada kebolehan kerana dia sebelum ini menteri besar Johor dan Johor tidak ada peningkatan seperti di Selangor dan Penang di bawah pembangkang,” katanya.

Menurutnya, jika Anwar tidak berupaya memimpin, rakyat boleh menukar kerajaan lain dalam PRU15.

Tukang baiki kasut, Kolis Zakir Mat pula berpendapat beliau yakin sekiranya diberikan peluang, Anwar boleh memerintah dengan baik berbanding kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, rakyat kini terbeban dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pelbagai kos lain.

“... beri peluang pada dia (Anwar) lima tahun, kalau kita rasa tak bagus, kita tukar lagi dalam PRU seterusnya.

“Seperti sekarang ini GST semua kita kena tanggung, jadi bagi rakyat rasa susah. Macam saya susah, anak lima orang, nak bayar sewa rumah lagi,” kata lelaki berusia 48 tahun itu.

Sementara itu peniaga warung Asliza Omar berpendapat calon yang paling layak adalah Muhyiddin kerana menurutnya beliau tidak pernah dikaitkan dengan berita seperti rasuah.

Malah katanya keperibadian Muhyiddin yang ‘bertutur dengan sopan’ membuatkan bekas timbalan perdana menteri itu harus menjadi perdana menteri.

“Kalau saya, saya pilih Muhyiddin kerana dari dulu rekod dia bersih, tak ada cerita yang tak bagus mengenai dia. Dia juga sangat 'soft spoken' dan jarang membangkang dan berdebat ketika menjadi timbalan presiden dulu.

“Macam Anwar pula dia perjuangkan segala-galanya. Tapi kita rakyat jadi keliru nak sokong siapa. Pada mulanya kita sokong dia (Anwar) tapi lepas tu tak tahu siapa. Kita jadi celaru. Hati dah tak kuat dengan Umno dan Najib. Kita yang di bawah ikut sahajalah,” kata wanita berusia 37 itu.

Semalam Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berpendapat masih terlalu awal untuk menamakan calon perdana menteri seandainya BN hilang kuasa di peringkat persekutuan dalam pru14 ketika sokongan politik terhadap parti pembangkang, masih tidak menentu.

Katanya, bagi meyakinkan pengundi Melayu yang tidak sehaluan dengan Datuk Seri Najib Razak untuk menyokong pembangkang, Rafizi berkata perlu ada gencatan senjata di kalangan parti pembangkang untuk memastikan mereka kembali kepada peranan membela rakyat.

Kata Rafizi lagi walaupun rakyat menolak Umno, mereka juga tidak amat sangat menyokong mana-mana parti pembangkang tertentu.

Bagi Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut mencadangkan pelantikan perdana menteri interim jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Katanya pelantikan itu boleh dilakukan sementara menunggu pembebasan Anwar dari penjara.
 

Lihat Komen
ADS