Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat palsu: Polis tunggu laporan pejabat MB Perak
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 3:43 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Polis belum menerima laporan dari Pejabat Menteri Besar Perak berhubung penyebaran surat palsu mengenai pengisytiharan pelantikan Kesultanan Melayu Perak ke-36.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya masih menunggu laporan pejabat Menteri Besar dan dokumen yang berkaitan.

"Selepas itu kita akan menilai dokumen bagi mengklasifikasikan kes mengikut maklumat yang diperoleh. Tetapi sehingga pagi tadi, polis belum menerima sebarang laporan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau telah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung penyebaran surat palsu itu.

Zambry menyifatkan penyebaran surat palsu tersebut oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai cuba mencemarkan nama Pejabat Menteri Besar.

Menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar, surat palsu itu menyebut bahawa Zambry mengisytiharkan individu tidak dikenali iaitu Sultan Badaruddin Alang Diwakis sebagai Sultan Perak ke-36.

- Bernama

Lihat Komen
ADS