Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR: Tak benar viral esok tarikh tutup daftar layak undi PRU14
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 3:53 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Orang ramai masih boleh mendaftar sebagai pengundi selepas 30 September kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan sistem pendaftaran pemilih sepanjang tahun, kata Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata mesej viral di media sosial yang menyatakan esok (30 September) adalah tarikh tutup pendaftaran bagi melayakkan seseorang mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah tidak benar.

"Sebagai makluman 30 September 2016 adalah tarikh akhir bagi pendaftaran yang akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2016," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hashim menjelaskan individu yang mendaftar dalam tempoh bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2016 akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Suku Keempat 2016.

Beliau menasihati orang ramai supaya mendaftar sebagai pemilih tanpa perlu menunggu di saat akhir atau disebabkan oleh sesuatu mesej yang viral.

Mohd Hashim berkata kenyataan bahawa pendaftaran pemilih boleh dilakukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar kad pengenalan ke talian tertentu juga tidak benar.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan mesej yang diviralkan itu kerana dibimbangi malumat peribadi mereka akan disalahgunakan oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau menjelaskan kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui penolong pendaftar pemilih yang dilantik SPR.

Orang ramai juga perlu membawa bersama kad pengenalan yang asal dan mengisi Borang A, katanya.

Menurut Mohd Hashim, jangkaan bahawa PRU14 akan diadakan pada Mac 2017 yang turut dinyatakan dalam mesej viral itu hanyalah andaian pihak tertentu.

Beliau berkata penentuan pembubaran Dewan Rakyat adalah bidang kuasa perdana menteri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS