Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
9 kes gastroentritis akut dilapor di Kedah dan P Pinang
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 5:45 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan bahawa sembilan kes Gastroentritis Akut (AGE) telah dilaporkan di Kedah dan Pulau Pinang dengan tiga daripadanya disahkan positif rotavirus.

Rotavirus adalah punca utama cirit-birit teruk dalam kalangan kanak-kanak yang juga mengakibatkan dehidrasi yang boleh membawa maut, terutamanya mereka yang berusia enam bulan hingga tiga tahun. Ia mudah menjangkiti kanak-kanak melalui makanan, air serta pencemaran akibat persekitaran tidak bersih dan sanitari.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan kes tersebut melibatkan tujuh kanak-kanak berusia 11 bulan hingga 10 tahun di Kedah dan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun di Pulau Pinang.

Tiga daripada tujuh kes yang dilaporkan di Kedah pada 28 September datang daripada satu keluarga manakala selebihnya adalah kes sporadik. Kesemua mereka, yang telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, mula mengalami gejala pada 26 Sept dan pernah melawat taman rekreasi di Bukit Merah pada 24 Sept, katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, dua kanak-kanak yang dilaporkan menghidap AGE di Pulau Pinang juga mempunyai sejarah mandi-manda di Bukit Merah, bagaimanapun mereka bukan daripada keluarga yang sama dan telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

"Kesemua sembilan kes dalam keadaan stabil. Sehingga kini hanya tiga kes sahaja telah disahkan positif rotavirus. Ketiga-tiganya dirawat di Hospital Kulim, Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata semua negeri telah dinasihat supaya meningkatkan pemantauan kes AGE dalam tempoh seminggu ini, manakala pengamal perubatan swasta diminta untuk melaporkan semua kes cirit-birit yang mempunyai sejarah lawatan ke taman rekreasi Bukit Merah kepada Pejabat Kesihatan berhampiran.

"KKM masih menjalankan siasatan dan akan terus memantau perkembangannya," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang mempunyai gejala cirit-birit mendapatkan rawatan doktor dan elakkan daripada menghantar mereka menghadiri taska, tadika, sekolah atau kolam renang bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS