Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mayat suami isteri ditemui dalam rumah sewa
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 6:44 AM
Dikemaskini: 10:46 PM

Mayat sepasang suami isteri ditemui dalam keadaan hampir reput dan berbau di rumah sewa mereka di Taman Machang Bubok, di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mayat suami berusia 51 tahun dan isterinya 35 tahun itu ditemui selepas jiran mereka terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.

"Kami menerima panggilan kecemasan dari jiran pasangan itu pada 5.40 petang memaklumkan, tidak ternampak jiran mereka sejak beberapa hari lepas selain terhidu bau busuk dari rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam tadi.

Katanya sepasukan polis yang bergegas ke rumah pasangan penjaja makanan di Chai Leng Park, Butterworth itu kemudiannya bertindak memecahkan pintu sebelum menjumpai mayat pasangan berkenaan di bilik bawah rumah dua tingkat berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mereka telah mati sejak lima hari lepas.

"Siasatan mendapati bilik di mana mayat pasangan itu ditemui ditampal pita pelekat pada bahagian tingkap dan terdapat dua tong gas dalam bilik yang berkunci berkenaan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati pasangan yang tidak mempunyai anak itu telah menyewa di rumah berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu dan mayat suami isteri berkenaan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Polis juga sedang siasat sama ada pasangan itu ada berhutang... dan kami turut mengesan anggota keluarga suami isteri berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS