Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib salahkan 'pemimpin lama' pecahkan umat Islam
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 3:03 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyalahkan seorang ‘pemimpin lama’ yang telah bersara kerana memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Pemimpin ini, katanya, menyukarkan usaha ke arah perpaduan umat dilaksanakan sedangkan pemimpin Islam mempunyai tanggungjawab berat dalam menyatupadukan umat.

Menurut Najib, beliau sangat berpegang kepada prinsip ini kerana ia adalah seruan kitab suci Al-Quran..

“Sepanjang pentadbirannya, orang Melayu Islam di negara ini pecah kepada tiga parti atau kumpulan.

“Kini, selepas beliau bersara, beliau pecahkan lagi kepada lima dengan menubuhkan sebuah parti baru.

“Tabiat beliau ini, suka berkelahi, bersikap hipokrit, sekejap memfitnah orang lain, kemudian berbaik-baik,” tulis Najib dalam blog hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas Najib merujuk kepada seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berusaha untuk menumbangkannya.

Mahathir, kini adalah pengerusi parti serpihan Umno - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - beliau menuduh Najib mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan dana awam, dakwaan yang dinafikan oleh perdana menteri.

“Beliau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya sedangkan beliau sendiri tidak terlepas daripada tuduhan seperti pernah dipanggil kepala perompak tetapi semua orang tahu bahawa saya bukanlah orang yang pertama beliau aniayai.

“Ramai yang pernah menjadi mangsa beliau dahulu dipungut balik demi politik pada waktu-waktu tertentu,” kata Najib.

Henti berkelahi

Adalah dipercayai Najib merujuk kepada kesediaan Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan pembangkang termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang tidak pernah sehaluan suatu ketika dahulu.

Mahathir juga baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap tindakan undang-undang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha terakhirnya untuk menghentikan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Ketua Umum PKR itu adalah timbalannya yang dipecat pada tahun 1998.

Najib juga berkata sebagai umat Islam, beliau cuba berbaik-baik dengan parti yang majoriti ahlinya orang Islam.

“Kita sebagai umat Islam adalah bersaudara. Kerana itu, saya cuba berbaik-baik dengan parti yang majoriti ahlinya orang Islam walaupun cara politik mungkin berbeza,” katanya.

Najib mengakhiri tulisannya dengan menggesa umat Islam untuk berhenti berkelahi sesama mereka.

“Saya dengan penuh rasa rendah diri menyeru kepada semua sudah-sudahlah kita berkelahi.

“Marilah kita kembali bersaudara dan membentuk umat yang kuat dan berjaya,” katanya.

Lihat Komen
ADS