Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Data pengusaha Taska dikumpul untuk mohon pengecualian gaji minimum
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 5:41 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengumpul data daripada pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) untuk mereka memohon pengecualian pelaksanaan perintah gaji minimum.

Timbalan Menterinya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata data yang sedang dikumpul oleh pengusaha Taska itu antaranya merangkumi jumlah kanak-kanak dalam jagaan serta kos operasi mereka.

"Sejak perintah gaji minimum dilaksanakan, ada pengusaha Taska yang tidak dapat meneruskan operasi, ada yang gulung tikar kerana perlu menanggung kos yang tinggi termasuk kos sewaan (bangunan)," katanya.

Chew bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Kolaborasi Kebangsaan ke-18 Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia di Ipoh hari ini.

Perintah Gaji Minimum 2016 berkuatkuasa pada 1 Julai lalu dengan penetapan pembayaran RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selain itu, Chew mengulangi saranan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat memudahkan urusan permohonan pembukaan Taska khusus di kawasan perumahan bagi memudahkan ibu bapa yang bekerja menghantar anak mereka.

Tambahnya sehingga Ogos lepas, terdapat sebanyak 4,261 Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan daripada jumlah itu, 344 beroperasi di Perak.

"Kita juga telah mengenal pasti terdapat kira-kira 983 Taska yang beroperasi tidak berdaftar dengan JKM tetapi ada antaranya sedang dalam proses permohonan pendaftaran," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS