Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BNM: Pembiayaan bersih susut kepada 6.3 peratus pada Ogos
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 5:54 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 6.3 peratus pada Ogos berbanding 6.8 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pembiayaan bersih itu disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman yang diberikan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) yang terus sederhana.

"Bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul bersih lebih kukuh pada Ogos, selaras dengan terbitan lebih tinggi untuk modal kerja dan projek infrastruktur," kata BNM dalam kenyataan mengenai perkembangan monetari dan kewangan bagi Ogos 2016.

Menurut bank pusat, pertumbuhan tahunan pinjaman perniagaan terkumpul sistem perbankan lebih rendah pada 1.9 peratus pada bulan berkenaan (Julai: 3.7 peratus), mencerminkan terutamanya kesan asas yang tinggi pada Ogos 2015 dan bayaran balik pinjaman sekali sahaja yang besar oleh beberapa perniagaan domestik.

"Pada asas bulanan, paras pinjaman yang dikeluarkan kepada perniagaan meningkat, dengan jumlah yang lebih besar diberikan kepada sektor perdagangan borong dan runcit, dan restoran dan hotel; perkilangan; dan pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

"Paras dan pertumbuhan tahunan pinjaman yang dikeluarkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana khususnya, bertambah baik pada Ogos," katanya.

"Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul sistem perbankan meningkat pada kadar yang stabil sebanyak 5.7 peratus pada Ogos (Julai: 5.7 peratus), dengan pinjaman terkumpul untuk pembelian harta perumahan meningkat dengan stabil pada 10.2 peratus (Julai: 10.2 peratus).

"Paras permohonan dan kelulusan pinjaman bagi perniagaan dan isi rumah meningkat pada Ogos.

"Pada asas tahunan, pertumbuhan wang secara luas atau M3 meningkat sedikit kepada 2.4 peratus pada Ogos (Julai: 2.3 peratus) didorong terutamanya oleh pemberian kredit yang berterusan kepada sektor swasta oleh sistem perbankan dan
peningkatan aset asing bersih," katanya.

Kadar antara bank untuk semua tempoh matang terus sederhana manakala kadar asas (BR) purata berwajaran bank perdagangan kekal stabil pada 3.60 peratus pada akhir Ogos (akhir Julai: 3.62 peratus).

Sementara itu, inflasi, seperti diukur oleh perubahan peratusan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), lebih tinggi pada 1.5 peratus pada Ogos (Julai: 1.1 peratus).

BNM berkata sistem perbankan mengekalkan kedudukan modal yang kukuh dengan Nisbah Modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1), Nisbah Modal Kumpulan 1 dan Nisbah Jumlah Modal masing-masing pada 13.4 peratus, 14.3 peratus dan 16.8 peratus.

Pinjaman terjejas bersih mencakupi 1.3 peratus daripada pinjaman bersih manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman adalah pada 89.6 peratus.

Rizab antarabangsa BNM berjumlah RM392.5 bilion (bersamaan dengan US$97.7 bilion) pada 15 Sept 2016 yang kekal lebih daripada mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa dan memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan ialah 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS