Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP pembangkang tolak cadangan kawal selia dana politik
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 5:58 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk mengawal selia pembiayaan politik menerusi undang-undang baru tidak diterima baik oleh ahli parlimen Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (bawah, kanan) berkata cadangan itu hanya untuk menutup masalah integriti yang melanda negara ini.

"Bagi saya, ia hanya satu lencongan daripada isu sebenar pembaharuan yang sepatutnya ditangani secara holistik.

"Ini dilakukan hanya kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai masalah dengan pembiayaannya, jadi bagi saya ia tidak lebih daripada satu tindakan perhubungan awam," kata naib presiden PKR itu kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (bawah, kiri) juga sependapat dan menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan menjadikan tiada had ke atas had perbelanjaan parti dan calon.

"Ini adalah percubaan untuk menghalalkan politik wang dalam pilihan raya. Kamu memberi kebebasan tanpa had kepada calon-calon untuk menghabiskan sebanyak mana wang yang mereka mahu, untuk membeli undi.

"Mereka boleh menutup ini dengan alasan untuk membayar pekerja politik," katanya.

Ahli parlimen DAP itu berkata, jika BN berpendapat had perbelanjaan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan RM200,000 bagi kerusi Parlimen adalah satu sekatan, mereka sepatutnya membawanya kepada parlimen supaya had kenaikan boleh dirunding.

Rafizi, sementara itu, juga menolak cadangan untuk mengharamkan pembiayaan politik dari sumber asing, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, dan syarikat-syarikat yang menerima kontrak kerajaan.

"Wang itu mungkin dari CIA, tetapi akan berakhir sebagai derma dari beberapa kampung,” katanya, sambil menambah terdapat banyak cara untuk memanipulasi sistem kewangan global.

Dakwanya, begitu cara wang 1MDB berakhir sebagai derma asing untuk Najib sebelum pilihan raya 2013, merujuk kepada dakwaan perdana menteri bahawa RM2.6 bilion dalam akaunnya adalah derma daripada Arab.

Najib secara konsisten menafikan dakwaan wang berkenaan datang dari firma pelaburan negara itu.

Ahli Parlimen Shah Alam yang juga adalah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad (atas, kanan) berkata amalan kronisme dalam kerajaan bermakna pengharaman derma korporat tertentu masih boleh dielakkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS