Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan petisyen p'raya DUN Pujut pada 14 Okt
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 6:01 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Mahkamah Pilihan Raya menetapkan 14 Oktober untuk keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut, difailkan calon langsung Barisan Nasional (BN) yang kalah, Datuk Hii King Chiong.

Hakim Ravinthran N Paramaguru membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak membuat penghujahan lisan mereka bagi petisyen pilihan raya itu, satu-satunya kes yang difailkan susulan pilihan raya negeri pada 7 Mei lepas.

Ravinthran berkata beliau perlu meneliti undang-undang berkaitan, keputusan Mahkamah Pilihan Raya terdahulu berhubung kesalahan pilihan raya dan mengkaji penghujahan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan muktamad.

Petisyen itu difailkan pada 16 Jun lepas atas alasan pemenang kerusi DUN berkenaan, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP, yang dinamakan sebagai responden tunggal dalam petisyen itu, didakwa sebagai seorang warga Australia dan
mendaftar sebagai pengundi di Australia.

Sebagai rekod, Seksyen 16 dan 17(g) Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan bahawa seseorang anggota Dewan Undangan Negeri hilang kelayakannya jika beliau secara sukarela memperoleh kewarganegaraan daripada negara lain atau telah membuat perisytiharan taat setia kepada mana-mana negara di luar Malaysia.

Terdahulu, peguam utama pempetisyen, Peter Lin Kuan Yuh, dalam penghujahannya, berkata petisyen pilihan raya Pujut adalah kes yang tidak sukar difahami, melibatkan seorang calon hilang kelayakan yang memenangi pilihan raya dan bahawa pempetisyen telah mematuhi prosedur serta peraturan berkaitan tindakan memfail petisyen pilihan raya.

Mengenai isu teknikal yang dibangkitkan peguam responden, Chong Siew Chiang bahawa deposit jaminan RM10,000 untuk memfailkan petisyen pilihan raya mesti dibayar secara tunai, beliau berkata perkara itu tidak berbangkit disebabkan
Pendaftar Mahkamah Tinggi telahpun menetapkan had maksimum RM500 dalam bentuk wang tunai bagi kes sivil, sebab itulah bayaran dibuat menggunakan cek, yang dijelaskan oleh bank pada hari ia dikeluarkan.

Sementara itu, ketika berhujah, Chong berkata sesuatu petisyen pilihan raya tidak harus diteruskan jika semua prosedur tidak mematuhi peraturan mandatori memandangkan Mahkamah Pilihan Raya mempunyai bidang kuasa khas yang perlu
dipatuhi.

Selain prosedur, beliau berkata dakwaan yang terkandung dalam petisyen itu adalah cacat dan kabur, oleh kerana ia hanya mencatatkan bahawa responden telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 32 Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 tanpa memperincikan dakwaan itu, misalnya tempat dan tarikh kesalahan itu didakwa dilakukan.

Turut hadir di ruang mahkamah yang penuh sesak itu ialah Hii, Dr Ting, saudara mara dan penyokong daripada kedua-dua parti.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei lepas, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon DAP, BN, PAS dan seorang calon Bebas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS