Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IUKL, UiTM cipta teknologi amaran awal tanah runtuh
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 6:07 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Seramai 10 penyelidik daripada Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghasilkan Peta Navigasi Risiko Tanah Runtuh (LaRiMap) pertama di Malaysia bagi membantu orang ramai mengelak kejadian tanah runtuh di lereng jalan raya.

LaRiMap yang dapat dilihat dengan cara dimuat turun ke dalam 'Google Map', berfungsi sebagai amaran awal kepada pengguna jalan raya tentang kawasan berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh seterusnya memudahkan mereka merancang perjalanan.

Hasil inisiatif daripada pakar-pakar kejuruteraan awam dan kaji cuaca yang diketuai oleh Naib Canselor IUKL Prof Dr Roslan Zainal Abidin itu berjaya merangkul pingat emas dalam Anugerah Ekspo Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk 2016 (IIDEX 2016) pada 20 hingga 23 Sept lalu di UiTM Shah Alam.

Menurut Roslan, beberapa siri kejadian tanah runtuh akibat kegagalan cerun di lereng jalan raya mendorong pihaknya mengambil inisiatif membangunkan teknologi amaran awal tanah runtuh itu.

Menerusi LaRiMap, pengguna jalan raya dapat melihat kawasan menerima hujan yang berpotensi mendorong berlakunya tanah runtuh dan lokasi cerun-cerun kritikal, terutamanya di kawasan-kawasan bukit, katanya.

"Sekiranya cerun-cerun berisiko terletak di kawasan kritikal, maka 'LariMap' akan memaparkan amaran kepada pengguna supaya lebih berhati-hati ketika melalui cerun tersebut ketika cuaca hujan," katanya kepada pemberita dalam satu wawancara di IUKL, hari ini.

Roslan berkata selain itu, aplikasi itu juga dapat memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya mengenal pasti risiko sesuatu cerun menerusi tiga jenis peta iaitu peta risiko masa hadapan, peta risiko semasa dan peta kejadian tanah runtuh.

"Peta risiko masa hadapan adalah bagi merancang perjalanan selamat yang mana pengguna jalan raya dapat mengetahui sama ada perjalanan mereka pada sesuatu tarikh adalah terdedah kepada risiko tanah runtuh ataupun tidak.

"Pengguna turut boleh mengetahui status risiko kawasan bercerun yang mereka berada pada ketika itu dan mengambil langkah berjaga-jaga menerusi peta risiko semasa. Peta kejadian tanah runtuh pula menunjukkan kawasan yang pernah berlaku kejadian tanah runtuh yang dapat membantu pengguna mengelak daripada melalui kawasan itu," katanya.

Katanya selain bermanfaat untuk pengguna jalan raya, LaRiMap juga boleh dimanfaatkan pihak berkuasa tempatan untuk membantu mereka memantau cerun kritikal dan memberi bantuan segera sekiranya tanah runtuh berlaku.

Roslan berkata aplikasi itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada pertengahan tahun hadapan selepas urusan mendapatkan hak cipta dan pengubahsuaian dari segi teknikal selesai.

Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Awam Geoteknikal UiTM Jengka, Pahang Dr Adnan Derahman berkata mereka turut membangunkan Papan Tanda Amaran Tanah Runtuh (ALWS) yang dilengkapi elemen-elemen baru bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian amaran kepada pengguna jalan raya.

"Antara yang dilakukan adalah memaparkan nombor ID cerun, kedudukan cerun, jarak risiko, stesen hujan berdekatan, nombor telefon berkaitan dan laman web berkenaan maklumat cerun. Maklumat kedudukan pembangunan dan cerun adalah bagi mendedahkan kepada pengguna jalan raya tentang cerun berisiko tinggi terhadap tanah runtuh seterusnya dapat melaporkan kepada pihak berkuasa dengan hanya menyertakan ID cerun.

"ID cerun itu berfungsi sebagai koordinasi yang mana pihak berkuasa dapat mengenal pasti lokasi cerun itu dengan mudah apabila menerima aduan daripada pengguna jalan raya dengan melaporkan nombor ID itu," katanya.

Katanya selain maklumat tambahan, papan tanda itu juga dilengkapi kamera dan lampu amaran, lampu penunjuk dan lampu limpah yang dikawal melalui WiFi mengenai tanda-tanda awal tanah runtuh.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS