Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Mungkin jawapan kepada separuh kemelut yang melanda negara ini ada pada Azizan Osman dan orang lain sepertinya.

Propaganda dimainkan pembangkang adalah negara ini sedang mengalami kegagalan total. Segala usaha kerajaan pula dipandang sebelah mata, kalau pun tidak diperlekehkan begitu saja.

Rakyat yang tersepit di tengah perseteruan itu menjadi keliru.

Dalam keadaan begitulah negara sangat memerlukan wira yang mampu memberi pencerahan, ketenangan serta harapan.

Wira itu adalah pakar-pakar motivasi bergelarkan doktor falsafah. Jika ada gelaran lain - seperti Datuk, profesor, Ingenieur - itu tentu menggambarkan nilai yang ada pada mereka.

Tapi itulah, hati siapa tidak luluh apabila ada sesetengah pakar motivasi yang kaya pelbagai cabang ilmu luar biasa kemudian dipertikaikan kelayakan akademik mereka.

Dengan segala ilmu dan kemahiran yang diajarkan kepada ribuan orang, tokoh motivasi sebegitu sepatutnya dihargai dan diangkat ke tahap yang lebih terhormat.

Cuma kita perlu akui hakikat hidup memang selalu tidak adil. Niat yang baik sering dikhianati. Contohnya pakar-pakar motivasi yang serba hebat itulah.

Terus mencari, menggali

Dari semasa ke semasa ada saja fitnah dan mehnah yang ditimpakan ke atas mereka.

Kebanyakan pakar motivasi adalah penyelamat kepada kesengsaraan yang kita alami sekarang. Penyusutan nilai mata wang atau penurunan daya beli pengguna, misalnya. Atau kebuntuan mencari peluang perniagaan serta kegagalan menjadi usahawan berjaya.

Jika produktiviti menurun, carilah pakar motivasi. Ada masalah rumah tangga, pakar motivasi tentu ada jawapannya.

Hidup terpaksa berhutang kerana harga barang meningkat naik; ketagihan rokok; tanaman bunga orkid tak menjadi - jawapan biasanya akan ada pada pakar-pakar ini.

Tidak mustahil suatu hari nanti masalah kerosakan enjin kereta di tengah lebuh raya, catuan air bersih ke rumah-rumah kerana pengurusan tidak cekap atau jari tertusuk selumbar juga akan dirujuk kepada pakar motivasi bergelar doktor falsafah itu.

Memanglah bukan mudah untuk berjaya. Apa lagi cemerlang sebagai usahawan di zaman digital ini. Justeru untuk mendapat berkat daripada ilmu pakar-pakar berkenaan, kita perlulah berkorban masa dan harta benda.

Apa sangatlah nilai wang seribu dua yang perlu kita keluarkan untuk mengikuti satu siri ceramah dan kursus motivasi mereka berbanding ilmu yang diperolehi?

Ilmu mana boleh habis. Ia akan berterusan dan berkembang. Maka teruslah mencari dan menggali apa yang perlu (iaitu ilmu, dan wang untuk mendapatkan ilmu lain dalam kursus lanjutan pula).

Dan jangan lupa juga kursus motivasi dan pencerahan masa depan itu bukan sembarangan. Biasanya dalam program itu pengisian keagamaan akan ada.

Sudah nak dipertikai

Untuk apa jadi manusia berjaya kalau tiada iman di dada? Pakar motivasi itu ada jawapannya.

Justeru nilai seribu dua itu sangat kecil nilainya dengan ilmu yang diajarkan pakar pencerahan merangkap pembimbing rohani itu.

Melihat kepada kegigihan pakar-pakar itu membangunkan anak bangsa, sangat tidak wajar untuk sesiapa pun di atas muka bumi ini memperleceh dan mentertawakan mereka.

Sama halnya dengan ahli politik.

Memanglah kebanyakan ahli politik atau menteri yang mentadbir negara ini cerdik-cerdik belaka. Kewibawaan mereka membuat keputusan demi rakyat dan negara susah benar untuk dipertikaikan.

Sesetengah mereka - seperti pakar motivasi itu - juga pemegang ijazah doktor falsafah.

Perhubungan antarabangsa, komunikasi massa, sains politik, usuluddin, perniagaan, perpustakaan, perubatan alternatif atau kajian metafizik jentik-jentik hanyalah satu daripada ribuan cabang ilmu yang ada di dunia ini.

Bidang apa yang dikaji mereka, itu perkara kedua. Dari universiti mana ijazah itu diperolehi pula perkara ketiga. Bagaimana kelayakan itu dianugerahkan - sama ada secara belajar bertahun-tahun, mengikuti kursus atas talian, plagiat, 'diswastakan' - itu perkara keempat.

Apa yang paling penting ialah mereka ada kelulusan doktor falsafah.

Sebagai orang yang memiliki kelayakan akademik begitu, mereka tentu lebih mahir untuk membantu anak bangsa sendiri memajukan diri.

Tak difahami ramai

Justeru jika ada program motivasi dibuat di atas kapal pesiaran mewah - misalnya - tentu ada perkiraan istimewa diambil kira oleh pakar-pakar serta penganjur terbabit. Barangkali di tengah laut sana keberkatan ilmu yang disampaikan jauh lebih tinggi berbanding pengisisan modul sama di dalam dewan seminar.

Sebagai orang yang mahu melihat negara maju dan hidup cemerlang rakyat tidak perlulah banyak tanya atau soal jika mahu berubah.

Ditipu? Mana mungkin kita ditipu orang yang kelihatan segak, kemas dan memiliki sinar tersendiri pada wajahnya itu. Kata-kata yang dilafazkan penuh falsafah (maklumlah, mereka adalah doktor falsafah!).

Di sana sini diselitkan kalimah suci. Rasanya tidak pernah ada pakar motivasi bergelar doktor falsafah beragama Islam yang tidak memulakan ucapan mereka dengan tidak mengucapkan salam, kan? Dari semasa ke semasa mereka akan mengucap, beristighfar, menyebut nama Allah dan sebagainya.

Sama juga halnya dengan ahli politik. Pedulilah sama ada mereka daripada parti kerajaan atau pembangkang, semuanya hebat belaka.

Memanglah kadang-kadang kebijakan mereka memandu hala tuju negara tidak dilihat begitu cerdik oleh orang ramai. Tetapi bagi mereka, ia adalah sangat bijak.

Mereka adalah orang yang hebat. Ada gelaran doktor falsafah. Orang yang berilmu biasanya mendapat ilham tersendiri dan hanya difahami oleh segelintir orang saja.

Ringkasnya negara perlukan lebih ramai tokoh membawa gelaran doktor falsafah. Lebih ramai lebih bagus. Galakkan mereka menjadi penceramah motivasi atau ahli politik.

Atau mereka juga boleh jadi kedua-duanya serentak. Dalam kebanyakan masa, pakar motivasi boleh menjadi ahli politik, dan sebaliknya ahli politik tentu tidak ada masalah langsung untuk menjadi cendekiawan motivasi.

Kedua-duanya amat mahir memberikan harapan.

Dan pada kedua-dua kumpulan manusia itulah terletaknya jawapan kepada separuh masalah negara.


AL-ABROR MOHD YUSUF anggota sidang pengarang Malaysiakini

Lihat Komen
ADS