Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
13 kanak-kanak disah positif Rotavirus di Kedah
Diterbitkan:  Oct 1, 2016 6:37 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Sejumlah 13 daripada 17 kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital kerana mengalami muntah dan cirit-birit selepas mandi di taman tema air Bukit Merah Lake Town Resort, Perak, disah positif Rotavirus.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata tiga lagi kes masih menunggu keputusan ujian makmal dan satu kes diberi rawatan pesakit luar.

"Sejumlah 13 kanak-kanak masih dirawat di hospital dan dilaporkan stabil manakala tiga lagi telah dibenarkan keluar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa dimasukkan ke hospital akibat muntah dan cirit-birit setelah berkunjung ke taman tema itu pada 28 September lalu, dengan tujuh kes pertama direkodkan pada hari yang sama.

Susulan itu, dua kes lagi direkodkan masing-masing pada 29 dan 30 September, serta enam kes baru hari ini membabitkan kanak-kanak berumur antara setahun dan sembilan tahun.

Dr Norhizan berkata daripada enam kes baru hari ini, tiga daripadanya dirawat di sebuah hospital swasta di Sungai Petani, tiga di Hospital Kulim dan seorang dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Selama, Perak.

Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan perut dan usus dan sering menyerang kanak-kanak terutamanya yang berumur lima tahun ke bawah dengan gejala seperti cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS