Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lajim tinggalkan PKR untuk Sabah
Diterbitkan:  Oct 2, 2016 3:59 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Pengerusi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin hari ini mengumumkan keluar dari parti itu bersama dua ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Terrence Siambun (PKR) serta Junz Wong (DAP).

Siambun adalah ADUN Moyog manakala Wong mewakili DUN Likas.

Kata Lajim keputusan itu dibuat dengan rasa berat hati selepas kira-kira tiga tahun memimpin PKR di Sabah.

Berucap di sebuah majlis di Kota Kinabalu Lajim berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu di bawah parti tempatan.

"Walaupun kita dianggap sebagai sebuah rumah kecil, tetapi kita berkuasa untuk membesarkan rumah itu.

"Kita juga berkuasa sendiri, tidak perlu lagi meminta kebenaran daripada orang lain. Itulah suara rakyat Sabah sekarang," katanya semasa menyampaikan ucapan dan mengumumkan pengundurannya daripada PKR sebentar tadi.

Lajim yang juga ADUN Klias memberitahu Sabah perlu dibebaskan daripada belenggu 'simpanan tetap' kepada mana-mana kuasa politik yang "hanya mahukan sokongan rakyat Sabah untuk ke Putrajaya" tanpa menghormati sepenuhnya kedudukan negeri itu sebagai wilayah yang setaraf dengan negeri lain dalam Malaysia. 

Keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini juga dilihat menjadi faktor kepada Lajim serta pimpinan DAP Sabah meninggalkan parti masing-masing.

Menurut bekas timbalan menteri itu beliau serta beberapa pimpinan parti pembangkang berada di Sarawak ketika pilihan raya negeri diadakan pada Mei lalu.

Katanya pilihan raya itu menunjukkan parti-parti tempatan mendapat kemenangan besar, manakala PKR hanya mampu mempertahankan tiga kerusi sedia ada.

Orang ramai berpecah-belah

DAP pula katanya kehilangan separuh daripada apa yang pernah mereka kuasai sebelum pilihan raya negeri berkenaan.

"Parti-parti tempatan seperti PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), PRS (Parti Rakyat Sarawak) dan SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak dianggap wira oleh rakyat Sarawak walaupun mereka berada dalam BN.

"Ketegasan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang juga presiden PBB memberikan keyakinan dan harapan kepada rakyat Sarawak. Oleh itu mereka mendapat kemenangan besar," katanya.

Di akhir ucapannya Lajim turut mengumumkan 11 pimpinan PKR peringkat cabang yang menyertainya meninggalkan parti berkenaan, termasuk dari Kota Marudu, Tuaran, Putatan, Kimanis dan Keningau.

Pada 22 September lalu Malaysiakini melaporkan Anggota Parlimen Penampang  Darell Leiking terlebih dulu mengumumkan tindakannya meninggalkan PKR untuk bersama-sama dengan bekas Naib Presiden Umno Datuk Mohd Shafie Apdal menggerakkan sebuah parti baru berasaskan Sabah.

"Peletakan jawatan saya tidak perlu menjadi perhatian. Tumpuan sebenar ialah kita kini membentuk sebuah parti bagi mengubah Sabah," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum meletakkan jawatannya Leiking adalah naib presiden PKR dan satu-satunya anggota parlimen parti itu yang mewakilil Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee pula berkata "parti Malaya" telah gagal dan "politik Malaya sudah memusnahkan negara" ini.

"Sebab itu semua suku kaum orang Sabah kembali ke parti Sabah," katanya pada 23 September.

Ditanya mengapa, Yong yang berkhidmat sebagai ketua menteri antara 1996 hingga 1998 berkata negara amat terjejas oleh polarisasi perkauman dan agama.

Menurut presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) itu, orang ramai berpecah-belah disebabkan konflik yang berpunca daripada politik perkauman.

"Sementara itu Sabah dan Sarawak (masyarakatnya hidup dalam) harmoni. Malaysia sedang dibankrapkan oleh parti-parti politik Malaya," katanya kepada Malaysiakini.

Lajim berkata akan ada beberapa pemimpin PKR peringkat cabang akan menyertai tindakannya meninggalkan parti berkenaan.

Katanya walaupun meninggalkan parti berpangkalan di semenanjung mereka tidak akan memusuhi mana-mana pihak yang berjuan untuk "menumbangkan rejim BN" yang didakwanya semakin teruk mendatangkan musibah kepada negara ini.

"Sebaliknya kita akan bersama-sama dengan kumpulan yang berjuang untuk mengembalikan hak rakyat Sabah dalam persekutuan Malaysia.

"Jangan anggap Sabah dan Sarawak sebagai fixed deposit sebab rakyat Sabah sudah sedar. Saya dan rakan-rakan yang lain berjanji kami hanya akan menjadi alat kepada rakyat Sabah dalam perjuangan untuk memerdekakan mereka," katanya.

 

Lihat Komen
ADS