Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Konvoi BERSIH diganggu Pemuda Umno Kedah di Alor Setar

Konvoi BERSIH dari Alor Setar, Kedah terganggu seketika dengan kemunculan sekumpulan lelaki yang memakai baju-T merah dengan terpampang logo parti Umno ketika mereka hendak berlepas ke Sungai Petani semalam.

Kumpulan bermotosikal itu tiba ketika konvoi BERSIH yang terdiri daripada kira-kira 50 buah kereta, hendak bergerak dari Jalan Bahiyah, tempat ia berkumpul pada kira-kira pukul 9 pagi.

"Kumpulan itu menyekat kereta kami dan menghalang kami daripada berlepas... mereka menjerit pada kami," kata Ahli Parlimen PKR Alor Setar, Gooi Hsiao Leung kepada Malaysiakini.

Katanya, polis datang dan membolehkan mereka berlepas dari situ.

"Kumpulan itu kebanyakannya menjerit pada saya kerana kereta saya berada di depan sekali, mengetuai konvoi itu," katanya.

Menurutnya, kumpulan itu melaungkan kata-kata seperti meminta orang Melayu supaya jangan menjadi "balaci Cina".

Gooi mendakwa bahawa kumpulan baju merah itu diketuai oleh Ketua Pemuda Umno negeri, Syed Hafiz Syed Mustapha.

Dalam video yang diperolehi oleh Malaysiakini, seorang anggota kumpulan baju merah itu yang memakai topi keledar hitam dan cermin mata gelap dipercayai Syed Hafiz, dilihat melaung kepada ahlli parlimen itu, dengan berkata: "Ahli Parlimen Alor Setar mai buat kerja di Alor Setar".

Konvoi BERSIH itu berjaya bergerak dari situ apabila pihak polis menyekat kumulan baju merah itu daripada mengekori mereka.

Gooi kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana melindungi pasukan konvoi BERSIH itu.

Pemimpin BERSIH yang bersama konvoi itu ialah Maria Chin Abdullah, Hishamuddin Rais, dan penyelaras BERSIH wilayah utara, Toh Kin Woon. Turut hadir ialah bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mukhriz yang memakai baju-T kuning dan bertopi putih berkata - di tengah-tengah tepukan gemuruh - bahawa beliau bukan berada di perhimpunan BERSIH untuk "makan dedak".

Beliau juga menolak tuduhan bahawa BERSIH dimonopoli oleh kaum Cina.

"Mereka kata, yang menyokong BERSIH dan kerajaan yang bersih adalah dari satu kaum sahaja, dan mereka bukan Melayu-Islam. Saya berada di sini untuk menunjukkan bahawa Melayu-Islam di Kedah juga mahu kerajaan yang bersih," kata Mukhriz.

"Jika ada kumpulan lain di sini... mereka boleh membantah apa yang kita buat, tetapi mereka inilah yang telah ambil semua jenis 'dedak'," kata Mukhriz.

'Obor' BERSIH akan tiba di Kulim, Kedah pada jam 4.30 petang dan akan ke Pulau Pinang pada hari Ahad, sebelum menuju ke Perak.

BERSIH, sebuah gerakan reformasi pilihan raya, akan mengadakan perhimpunan mega di Kuala Lumpur pada 19 November dengan tuntutan antara lain, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan atas skandal 1MDB dan 'derma' RM2.6 bilion dari kerabat diraja Arab, yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS