Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Gerakan Datuk Baljit Singh mempunyai formula tersendiri untuk membolehkan partinya memenangi pilihan raya akan datang.

Kata Baljit, di kerusi yang didapati peluang untuk menang adalah sangat tipis Gerakan perlu meletakkan calon wanita muda, seksi dan "sanggup melakukan segala-galanya".

"Kalau nak kerusi yang sure (pasti) 100 peratus kalah, kenapa nak letak calon yang (berusia) 70 tahun, lelaki Cina 70 tahun, 80 tahun?

"Kenapa tak letak seorang wanita cantik, manis, energetic (bertenaga), seksi, dan sanggup melakukan segala-galanya (demi parti)?" katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berucap di perhimpunan tahunan Gerakan di Kuala Lumpur.

Turut hadir pemimpin parti komponen BN termasuk Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Setiausaha Agung MIC Datuk A Sakthivel.

Kata Baljit wanita muda seksi begitu mungkin akan kalah pada kali pertama bertanding namun mereka akan membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya kemudian.

Dengan itu katanya Gerakan mempunyai pelapis untuk meneruskan perjuangan mereka.

Menjelaskan lebih lanjut 'formula' itu Baljit berkata calon yang dipilih perlulah dilihat boleh diterima ramai, datang dari pelbagai kaum dan muda.

"Jika anda boleh meletakkan wanita muda, atau lebih baik Beliawanis (salah satu cabang dalam Gerakan untuk wanita berusia bawah 35 tahun), kesannya akan ada," katanya.

Baljit memetik pilihan raya kecil Teluk Intan pada 2014 yang menyaksikan kemenangan memihak kepada presiden parti itu Datuk Mah Siew Keong sebagai contoh.

Katanya DAP meletakkan seorang wanita muda - Dyana Sofya Mohd Daud - sebagai pencabar.

"Saya hanya nampak dia (Dyana Sofya) sebagai seorang wanita muda Melayu saja, saya tak nampak (aspek) lain," katanya.

Baljit juga menyatakan Mah menyedari perlunya Gerakan meletakkan calon muda ketika ini namun ada banyak kekangan yang mesti diatasi terlebih dulu.

Lihat Komen
ADS