Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam kecam serangan pada wartawan
Diterbitkan:  Oct 17, 2016 6:25 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam tindakan  segelintir individu mengasari dan mengugut wartawan ketika membuat liputan konvoi BERSIH 5 di Kuala Selangor, pada Sabtu lalu.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata tindakan itu disifatkan sebagai mengancam kebebasan media sekali gus menyeru tindakan ganas tersebut dihentikan segera.

"Suhakam memberi amaran serangan ke atas wartawan mengancam kebebasan media dan menyeru anggota kumpulan baju merah segera menghentikan serangan ke atas wartawan serta peserta BERSIH 5," katanya.

Kelmarin berlaku kekecohan dan kekasaran ke atas beberapa petugas media ketika mereka membuat liputan konvoi BERSIH dari Sekinchan ke Kuala Selangor.

Insiden itu berlaku di depan sebuah pasar raya melibatkan beberapa individu sejurus selepas Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah tiba.

Pada mulanya Armand dan penyokong BERSIH dilihat berjabat tangan dan berpelukan tetapi individu di sebelahnya tiba-tiba mula memprovokasi penyokong BERSIH.

Mengulas lanjut, Razali berkata walaupun Suhakam tidak mengikuti perkembangan konvoi BERSIH 5 secara dekat namun mereka memandang serius gangguan dilakukan kumpulan probaju merah itu.

Suhakam turut mengambil maklum beberapa individu ditahan polis ekoran insiden berkenaan namun sehingga kini, kata Razali, belum ada sesiapa yang didakwa di mahkamah kerana menyerang wartawan tersebut.

Justeru katanya Suhakam berharap kejadian tersebut disiasat segera dan pelakunya dipertanggungjawabkan.

Lihat Komen
ADS