Paling Popular
Terkini

Perang mulut antara Datuk Husam Musa dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz berterusan lagi hari ini.

Ditemui di parlimen Nik Abduh mempertikaikan kenyataan Husam yang memetik nama bekas menteri besar Kelantan, allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan perhimpunan BERSIH 5 yang akan diadakan pada 19 November ini.

Kata Nik Abduh arwah bapanya pernah berpesan supaya kekal bersama PAS namun ia diingkari Husam merujuk kepada tindakan bekas exco kanan Kelantan itu menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Begitu juga arahan mengenai penyertaan ahli PAS dalam perhimpunan BERSIH.

"Yang BERSIH pada masa itu ada arahan daripada pimpinan. Tok Guru (Nik Aziz) sebut arahan PAS (supaya sertai BERSIH). Sekarang arahan PAS berbeza.

"Kalau nak pakai (cakap Nik Aziz) yang sudah meninggal dunia tu, pakailah, tapi yang dah meninggal dunia itu ada pesan (supaya) kekal dalam PAS. Mengapa tak mau ikut arahan itu?" katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Husam sebagai berkata ahli PAS perlu menyertai perhimpunan BERSIH 5 di Kuala Lumpur bulan depan kerana ia adalah pesanan Nik Aziz.

"Saya nak ulang sekali lagi bagi yang was-was sampai BERSIH pun dia tak boleh hadir. Minta maaf saya tak nak apologatik.

"Tok Guru Nik Aziz kata wajib hadir BERSIH masa dia hidup, ada orang kata dia lebih rapat dengan Tok Guru daripada Husam tapi dia lupa apa yang Tok Guru pesan," kata Husam.

Husam pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada bekas mursyidul am PAS itu sebelum dinaikkan pangkat menjadi setiausaha politiknya.

Masa untuk dibahas

Dia dilihat mendapat asuhan secara langsung daripada Nik Aziz sehinggalah diketepikan kemudiannya.

Selepas Nik Aziz menyerahkan jawatan menteri besar kepada Datuk Ahmad Yakob Husam terus disisihkan daripada arus perdana politik Kelantan.

Husam kemudian dipecat daripada PAS ekoran sikapnya yang tidak disenangi pimpinan dan ahli parti berkenaan. Dia kemudian mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH pada 30 Ogos lalu.

PAS menyatakan pendirian parti itu untuk tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5 walaupun menyokong matlamat asal gabungan itu secara prinsip.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata BERSIH 5 mempunyai banyak matlamat lain yang dirasakan tidak selari dengan pendekatan parti itu pada masa kini.

Ditanya perasaannya atas tindakan Husam memetik nama arwah bapanya Nik Abduh berkata sesiapa juga boleh menggunakan nama Nik Aziz dalam kenyataan mereka namun perlu bertanggungjawab.

Namun katanya orang yang "memahami" Nik Aziz tahu asas terpenting ditekankan beliau ialah kekal dalam perjuangan PAS.

"Saya nak halang (orang lain gunakan nama Nik Aziz) tak boleh. Semua nak kata Tok Guru ni guru mereka, (tapi kena) bertanggungjawablah. "Masing-masing kena ada tanggungjawab dan amanah," katanya.

Sementara itu mengenai rang undang-undang persendirian cuba dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke parlimen bagi meminda Akta 355 Nik Abduh berkata pihaknya masih berharap ia dapat dibentangkan segera.

"Rakyat dah tunggu selama berbulan-bulan, kita dah berbincang panjang. Kini masanya untuk ahli parlimen berbahas," katanya.

Mengenai kedudukan usul itu yang ditolak ke bawah - dari nombor empat kepada nombor tujuh - Nik Abduh menganggap ia adalah perkara biasa.

Katanya memang kedudukan sesuatu usul yang akan dibentang di parlimen berubah dari semasa ke semasa.

"Kita tunggu sehingga penghujung sesi parlimen. Sebelum ini pun kita tak tau kerajaan setuju (beri laluan bentang pada sesi lalu). Sesi yang lepas kita pun terkejut," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS