Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: Pinda perlembagaan, Kelantan tak ada wang selain balak

Anggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan negeri Kelantan perlu mendesak Putrajaya meminda perlembagaan berkaitan hasil pendapatan negeri.

Menurutnya, ketika ini, kerajaan negeri tidak mempunyai punca pendapatan lain selain daripada pembalakan.

Justeru, Tengku Razaleigh meminta agar kerajaan Persekutuan membahagikan cara kutipan hasil supaya lebih banyak diperolehi oleh negeri.

"Bukan nak salah kerajaan negeri juga kerana punca pendapatan sekarang ialah hasil balak. Kerajaan negeri tak ada wang.

"Sebab itu saya cadang perlembagaan negara dipinda supaya membahagikan cara kutipan hasil itu lebih banyak (diberi) pada negeri," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai isu pembalakan di Gua Musang yang turut memberi kesan terhadap kaum Orang Asli di kawasan itu.

Selain itu, pemimpin veteran Umno yang dikenali sebagai Ku Li itu juga berkata, perkara ini dapat direalisasikan sekiranya kerajaan negeri mendesak dan membuat rundingan dengan Pusat.

"Saya rasa dah sampai tahap lakukan perubahan (Perlembagaan). Dulu ia dibuat sebelum tahun 1957, dan saya rasa sekarang perlu ambil kira keadaan semasa," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan PAS Kelantan wajar mengutamakan isu untuk meminda Perlembagaan berbanding Rang Undang-Undang 355, Ku Li hanya tersenyum dan berkata:

"Banyak isu yang kerajaan negeri perlu desak terutamanya oleh PAS.

"Sebab orang sekarang dah bosan dan penat dengan tiada pembangunan serta pembangunan yang pasif di negeri itu.

"Malah golongan muda juga keluar dari negeri itu kerana kerajaan negeri tidak mampu untuk menyediakan kemudahan untuk golongan berkenaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS