Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

Pemimpin gerakan ‘baju merah’ Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini dibebaskan lebih awal walaupun tahanan reman yang dikeluarkan adalah untuk dua hari selepas beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Beliau keluar dari lokap Ibu Pejabat Pols Daerah Dang Wangi pada jam 4.45 petang tadi.

Kira-kira 50 penyokong kumpulan itu menyambutnya di luar IPD Dang Wangi sejak jam 3.30 petang tadi dengan laungan "Hidup Merah".

Semua mereka memakai baju merah dan menaiki motosikal.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu disiasat mengikut seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Bercakap di Ibu Pejabat Polis Dang Dang Wangi, peguam yang mewakili Jamal, Suzana Norlihan Alias berkata tidak ada arahan dari majistret yang mengatakan bahawa anak guamnya harus direman selama 48 jam walaupun perintah reman adalah untuk dua hari.

“Tak ada arahan dari majistret untuk kata 48 jam. Dia kata dua hari, dua hari boleh jadi separuh hari.

“Jangan gunakan istilah dua hari itu sebagai 48 jam kalau tak faham minta tanya, jangan buat spekulasi, jangan buat (kenyataan) dari mulut kamu kemudian cakap ia datang dari kami ya,” katanya dengan nada emosi.

Tak boleh terima

Sementara itu, Jamal menyifatkan penahanannya sebagai berat sebelah kerana pemimpin BERSIH tidak ditahan.

Dakwanya, polis menahannya di hadapan isteri dan anaknya setiba mereka di KLIA.

“Penahanan saya langsung tak boleh diterima oleh saya kerana penahanan ini bagi saya satu penganiayaan dan penghinaan kepada diri saya.

“Walaupun saya sedia maklum polis bertanggungjawab jaga keamanan ketenteraman dalam negara tapi apa yang berlaku ke atas diri saya ini adalah satu perkara yang double standard.

“Penahanan saya ketika pulang dari luar negara, (dan tiba) di KLIA saya sifatkan sebagai mendukacitakan.

“Tuan-tuan bayangkan bagaimana perasaan seorang isteri, anak ketika lihat bapanya ditahan, diiringi polis ketika keluar dari lapangan terbang digari selepas itu,” katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menjarakkan diri dari baju merah termasuk Pengerusi badan perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar yang berkata kumpulan itu adalah sebuah NGO dan tidak melibatkan parti Melayu itu.

Mengulas lanjut Jamal bersetuju dengan kenyataan Noh bahawa baju merah tidak ada kaitan dengan Umno.

Katanya, selaku ketua Umno Bahagian Sungai Besar, beliau tidak akan menggunakan jawatan dalam parti sebaliknya akan berjuang melalui tiket NGO untuk mengetuai baju merah.

“Saya ingin ulangi, gerakan merah tak ada kena mengena dengan Umno langsung pun, saya di sini bersama rakan-rakan berbaju merah ini bukan di atas nama Umno walaupun parti kami Umno, tapi kami berada di sini di bawah solidariti NGO.

“Di sebelah sana pun (BERSIH) sama juga, jangan kata bukan DAP, bukan PKR dan saya bersetuju dengan Tan Sri Noh, bukan Umno yang anjurkan walaupun saya ketua Umno bahagian Sungai Besar tapi saya di bawah tiket gabungan NGO,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS