Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

BERSIH menyifatkan kenyataan pemimpin gerakan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mahu melancarkan perang pada skala besar-besaran terhadap kumpulan itu seperti kata-kata budak tadika.

Ahli Jawatankuasa BERSIH Rama Ramanathan berkata ketua Umno Sungai Besar itu sepatutnya memilih jalan dialog untuk menyatakan bantahan terhadap desakan gerakan itu yang menuntut supaya pilihan raya yang adil dan kerajaan bersih diwujudkan.

“Kenapa perlu cakap tentang perang apabila kamu (Jamal) boleh bercakap mengenai idea. Saya rasa lebih baik dia beritahu mengapa dia tidak suka kerajaan yang bersih; kenapa dia tidak suka pilihan raya yang adil; kenapa dia tidak suka kepada hak untuk berbeza pendapat dan bercakap secara terbuka?

“Kenyataan yang dibuat Jamal macam budak tadika atau sekolah rendah. Tak perlu buat kenyataan begitu. Kita nak (kenyataan yang) lebih dewasa. Kalau tak setuju dengan kami, patut berdialog bukan hasut orang ramai ke arah keganasan,” katanya.

Rama berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis solidariti pemenang anugerah Gwangju (hadiah untuk pejuang hak asasi manusia Korea Selatan) untuk Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Jamal menjadi pemimpin kumpulan baju merah yang sering berkonfrontasi dengan penyokong BERSIH sehingga mencetuskan beberapa insiden keganasan, termasuk membabitkan wartawan.

Polis menahan Jamal sekembalinya dari luar negara kelmarin selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan dia disiasat ekoran status di Facebook yang mengaitkan BERSIH dengan peristiwa 13 Mei serta "parang terbang".

Jamal bagaimanapun mendakwa status pada akaun yang ada kaitan dengannya itu dipalsukan oleh DAP.

Sejurus selepas dibebaskan daripada tahanan reman semalam Jamal mengumumkan rancangannya mahu melancarkan perang besar-besaran terhadap perserta BERSIH 5 yang sepatutnya berkumpul di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

Jamal turut menggesa pihak berkuasa untuk menangkap pemimpin BERSIH kerana disifatkannya melakukan jenayah ketika perhimpunan BERSIH 4.

Bagaimanapun Khalid berkata kenyataan pada pandangan polis kenyataan Jamal itu bermaksud "perang mulut" dan BERSIH boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Rama berkata tidak ada sebab untuk pihak berkuasa menangkap pemimpin BERSIH kerana individu terbabit hanya melaksanakan hak mereka seperti terkandung dalam undang-undang.

“Kami tidak takut pada polis polis atau undang-undang kerana kami bertindak mengikut hak yang termaktub dalam perlembagaan.

"Jadi, jika kita nak ditangkap, saya nak tanya, kenapa? Adakah salah untuk menyokong perlembagaan? Apa yang kami sudah lakukan? Kami tak menghasut sesiapa untuk membuat keganasan,” katanya.

Lihat Komen
ADS