Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan kekalkan hukuman mati 'Rambo Bentong'
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 4:08 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap perogol bersiri digelar "Rambo Bentong" bagi sabitan membunuh remaja perempuan 17 tahun, tujuh tahun lepas.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak rayuan terakhir Rabidin Satir terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Pahang, antara 10.30 malam 7 Mac dan 1.50 tengah hari pada 8 Mac 2009.

Hakim Zulkefli berkata bukti DNA dan forensik dikemukakan pihak pendakwaan mencukupi untuk membuktikan kes itu tidak melampaui keraguan munasabah dan sabitan Rabidin adalah kukuh.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Lelaki berumur 46 tahun itu yang mendakwa dia datang ke Malaysia dari Limbang Tambunan, Indonesia, didapati bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 6 Ogos, 2014. Dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Oktober tahun lepas.

Rabidin juga dituduh merogol remaja itu tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada pertuduhan itu kerana mahkamah tidak dapat memastikan sama ada gadis itu dirogol semasa dia masih bernyawa atau selepas kematiannya. Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan itu.

Menurut fakta kes, remaja perempuan itu menggunakan komputernya pada malam sebelumnya dan ditemui mati di dalam bilik oleh adik perempuannya pada keesokannya dalam keadaan tubuhnya ditutup selimut dan ada kesan darah pada tilam.

Pakar patologi menemukan 12 kesan kecederaan dan lebam pada tubuh remaja itu dan kesan luka kelaran pada lehernya, yang menjadi punca kematiannya. Laporan forensik mendapati profil DNA Rabidin sepadan dengan DNA dalam air mani yang dijumpai pada seluar pendek remaja itu.

Rabidin ditahan pada 14 November 2012 di sebuah bukit di Taman Sahbandar, Bentong dan polis menemukan tiga beg sandang mengandungi satu topeng, sepasang sarung tangan, selaras senapang buatan sendiri, sebilah pisau dan tuil besi.

Rabidin digelar Rambo Bentong kerana dia tinggal di dalam hutan seorang diri dan menggunakan pisau 'rambo' untuk mengugut dan menyerang mangsanya. Dia juga disabitkan bagi beberapa kesalahan rogol lain, melakukan seks di luar tabii dan mencederakan seorang anggota polis.

Dia diwakili peguam Mohd Kamarulzaman A Wahab manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS