Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasangan pelakon tambahan ditahan disyaki terlibat kes pecah rumah
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 5:32 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Polis menahan sepasang kekasih yang pernah berlakon di dalam sebuah filem Tamil sebagai pelakon tambahan kerana disyaki terlibat dalam kira-kira 11 kes pecah rumah di sekitar Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, pasangan rakyat tempatan, lelaki berusia 34 dan wanita berumur 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari, di sebuah pangsapuri di Seksyen 19 di Shah Alam pada 13 Oktober lalu.

"Pemeriksaan di pangsapuri berkenaan menemui beberapa barangan dipercayai dicuri seperti telefon bimbit, komputer riba dan kamera serta beberapa resit pajak gadai.

"Siasatan lanjut ke atas resit itu juga mendapati barang yang digadai, antaranya jam mewah dan barangan kemas merupakan barangan hasil pecah rumah," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Tambah Shafien, soal siasat terhadap kedua-dua suspek yang dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak April tahun ini, membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun di sebuah rumah kedai di Puchong pada 19 Oktober lalu.

Beliau berkata, di rumah warga Indonesia itu yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menjual hasil curi berkenaan, pihaknya menjumpai pelbagai lagi barangan, antaranya kamera, telefon bimbit, komputer riba dan televisyen dipercayai hasil curi pasangan kekasih terbabit.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM60,000. Dengan penahanan pasangan kekasih ini kami percaya dapat menyelesaikan kira-kira 11 kes pecah rumah di daerah ini dan daerah berdekatan," katanya.

Menurut Shafien, kedua-dua pasangan yang positif dadah itu direman sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS