Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Talian jalur lebar: Kelajuan lebih tinggi pada harga sama
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 5:55 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Penyedia perkhidmatan jalur lebar talian tetap akan menawarkan perkhidmatan berkelajuan lebih tinggi pada harga yang sama mulai Januari tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata tawaran tersebut diperoleh hasil persetujuan penyedia perkhidmatan, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa saluran maklumat dalam talian.

"Sebagai contoh, pelanggan pakej 5 megabit sesaat pada harga RM149, akan menikmati pakej berkelajuan dua kali ganda iaitu 10 megabit sesaat," katanya ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Seterusnya, Najib berkata bagi pakej itu dalam tempoh dua tahun, kelajuannya akan ditingkatkan dua kali ganda manakala harga diturunkan sehingga 50 peratus.

"Kelajuan digandakan, harga diturunkan sehingga separuh," katanya.

Najib juga mengumumkan empat lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibina di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.

Manakala tiga lagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) akan dibina di Selangor, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta menerusi Bajet 2017.

Setiap UTC akan disediakan sebuah Job Centre untuk membantu memadankan antara pencari kerja dan bakal majikan.

Lihat Komen
ADS