Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis kenal pasti individu viral insiden campak ular dalam kolam
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 7:19 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Polis telah mengenal pasti individu yang bertindak menyebarkan video insiden mencampak ular ke dalam kolam semasa ujian bina diri perkhemahan unit beruniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang disertai pelajar sekolah.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya juga telah mengenal pasti kesemua anggota APM yang terbabit dalam insiden berkenaan.

"Kita sedang dalam proses merakam keterangan kesemua individu yang terlibat bagi membantu siasatan lanjut. Siasatan dijangka akan dilengkapkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan (Kekerasan Jenayah) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak kanak serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Rakaman video berdurasi lebih dua minit tersebar dan menjadi viral di media sosial serta mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut itu menangis dan menjerit setelah jurulatih mencampak ular ke dalamnya.

Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu berlangsung.

Sebanyak 45 murid menyertai program perkhemahan itu di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS