Paling Popular
Terkini

ULASAN Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017 yang menekankan perbelanjaan inklusif berhemah ketika mendepani cabaran ekonomi yang diuji dengan ketidaktentuan ekonomi semasa di peringkat global.

Dengan tema “Menjamin perpaduan dan pertumbuhan ekonomi, menghemah perbelanjaan inklusif, mensejahtera kehidupan rakyat seluruh", Bajet 2017 mencadangkan sejumlah peruntukan RM260.8 bilion dibelanjakan iaitu sebanyak RM214.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan Bajet 2017 juga memperlihatkan peningkatan jumlah peruntukkan perbelanjaan sebanyak 3.4 peratus berbanding dengan Bajet 2016 yang lalu.

Memandangkan jumlah peruntukan yang disediakan pada kali ini meningkat berbanding pada tahun lalu serta peningkatan jumlah peruntukan yang disediakan kepada rakyat, maka adalah penting untuk pihak kerajaan memastikan segala peruntukan yang hendak disalurkan sampai ke sasaran yang telah ditetapkan.

Pihak kerajaan harus memastikan tiada isu penyelewengan atau ketirisan berlaku dalam menyalurkan segala bentuk bantuan yang ingin disampaikan.

Seperti yang diketahui umum, sepanjang tahun ini sahaja, kita telah didedahkan dengan pelbagai isu yang membawa kepada keresahan rakyat akibat daripada ketirisan wang kerajaan yang berlaku seperti pecah amanah, penyalahgunaan wang atau harta kerajaan serta masalah rasuah.

Masalah ketirisan yang berlaku semenjak kebelakang ini sedikit sebanyak mencemarkan imej kerajaan serta menyebabkan segala peruntukan yang telah disediakan, tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Bagi mengatasi masalah ketirisan yang berlaku, adalah penting bagi pihak kerajaan untuk sentiasa memantau segala proses penyampaian peruntukan serta memantau segala proses perlaksanaan infrastuktur yang ingin dilakukan kelak.

Sikap sambil lewa serta tidak ambil tahu tidak boleh lagi wujud di kalangan pegawai penguatkuasaan dalam memastikan setiap wang peruntukan dibelanjakan mengikut dengan apa yang telah dirancangkan melalui bajet yang telah dibentangkan.

Mungkin sudah sampai masanya juga, pihak kerajaan memperimbangkan bagi mewujudkan sebuah unit atau agensi khusus bagi memastikan segala wang yang telah diperuntukan melalui bajet dibelanjakan mengikut matlamat yang telah ditetapkan.

Sebarang kelemahan yang telah dikenalpastikan melalui laporan-laporan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara perlu diteliti serta tindakan sewajarnya harus diambil supaya tiada lagi berlaku isu ketirisan atau pembaziran wang peruntukan kerajaan.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW adalah pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Lihat Komen
ADS