Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembiayaan untuk universiti utama dipotong ke tahap terendah selepas 2011

Pembiayaan untuk beberapa universiti awam utama dan hospital pengajar telah dikurangkan ke tahap paling rendah selepas 2011, demikian menurut Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan.

Antaranya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, jumlah peruntukan bagi UM - operasi dan perbelanjaan pembangunan - akan dikurangkan hampir satu pertiga, 28.5 peratus.

Jumlah pembiayaan bagi tahun depan ialah RM378.0 juta di bawah Bajet 2017 berbanding RM528.9 juta dalam Bajet 2016.

Begitu juga dengan USM dan UKM di mana pembiayaan mereka dipotong sebanyak 32 peratus. Pembiayaan USM dipotong daripada RM584.6 juta kepada RM397.9 juta. Manakala peruntukan untuk UKM pula dikurangkan daripada RM523.3 juta kepada RM356 juta.

Sementara itu, peruntukan bagi UPM akan dipotong daripada RM579.8 juta kepada RM466.9 juta, manakala pembiayaan untuk UTM akan dikurangkan daripada RM580.6 juta kepada RM381.5 juta.

Di bawah Bajet 2017, Kementerian Pengajian Tinggi akan memperuntukkan RM12.1 bilion, di mana RM7.1 bilion (tidak termasuk perbelanjaan pembangunan) diperuntukkan untuk universiti dan hospital pengajar.

Sebagai perbandingan, kementerian tersebut diperuntukkan RM13.4 bilion di bawah Bajet 2016, dan RM15.8 bilion di bawah Bajet 2015.

Universiti dan hospital pengajar telah diperuntukkan RM8.8 bilion dalam Bajet 2016, dan RM9.9 bilion dalam Bajet 2015. Angka ini termasuk perbelanjaan 'one-off' dan pembiayaan untuk perubahan dasar, dan peruntukan bagi tahun depan adalah yang kedua terendah sejak bajet pertama Najib pada 2010 .

Pemotongan itu bermakna universiti awam akan menyaksikan pengurangan pembiayaan kerajaan, walaupun jumlah enrolmen di banyak institusi pendidikan tinggi itu dijangka meningkat atau sekurang-kurangnya kekal stabil.

Bagaimanapun, UiTM dan UIAM adalah antara beberapa universiti yang menyaksikan trend sebaliknya.

UiTM akan menyaksikan pertambahan peruntukan daripada RM2 bilion kepada RM2.5 bilion, disebabkan oleh peningkatan besar dalam perbelanjaan pembangunan yang mengimbangi pemotongan dalam perbelanjaan operasinya.

UIAM juga menyaksikan trend peruntukannya yang meningkat daripada RM506 juta kepada RM754 juta, juga disebabkan rangsangan kepada perbelanjaan pembangunannya.

 
[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS