Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: K'jaan beri rawatan terbaik mangsa belon meletup
Diterbitkan:  Oct 22, 2016 4:47 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Kementerian Kesihatan akan memberi rawatan terbaik kepada 30 orang mangsa yang cedera dalam kejadian belon berisi gas meletup di Dataran Batu Burok, Terengganu semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam yang turut menzahirkan rasa sedih dengan kejadian berkenaan berkata kerajaan juga akan menyediakan bantuan kepada mangsa dalam usaha memulihkan keadaan mereka.

"Satu perkara yang menyedihkan ianya adalah program anjuran di bawah kementerian sempena Hari Penglihatan Sedunia dan ini memang satu program di mana belon yang diisi dengan gas helium dan dilekatkan di bawah.

"Saya dimaklumkan kemungkinan ada yang menggunakan pemetik api ketika hendak meleraikan ikatan sehingga berlaku letupan banyak belon," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, belon gas meletup setelah dikatakan seorang petugas program 'Walk For The Blind' itu cuba membuka ikatan belon yang terbelit dengan menggunakan pemetik api.

Kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Dr Subramaniam berkata beliau akan melihat dan meneliti kembali prosedur yang dibenar untuk digunakan semasa mengendalikan sesuatu program dengan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan berhubung penggunaan belon pada sebarang tempat atau majlis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS