Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia terus tunjuk disiplin fiskal, kata firma pelaburan global

Malaysia terus menunjukkan disiplin fiskal dengan berjaya mengurangkan defisit fiskal secara beransur-ansur sejak krisis kewangan global hingga ke hari ini.

Kejayaan itu dicapai dengan pelaksanaan pelbagai langkah memeritkan seperti memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan, mengurangkan subsidi bahan api serta mempelbagaikan ekonomi.

Firma pelaburan global, Franklin Templeton Investments berkata, Bajet 2017 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui perbelanjaan berhemat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama memberi perhatian rapi kepada kesejahteraan rakyat.

"Ia adalah imbangan yang baik, tetapi jika ia dilaksanakan dengan baik ia
akan menawarkan pelincir kepada enjin ekonomi bagi menjana aktiviti ekonomi dan merangsang keyakinan perniagaan," kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pendapatan Tetap serta Sukuk Franklin Templeton Investments Malaysia, Hanifah Hashim dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan itu percaya jumlah defisit fiskal 2016 sebenar akan menjadi sekitar 3.0 peratus dan ia kadar yang masih boleh diterima oleh agensi penarafan antarabangsa berikutan iklim ekonomi global yang mencabar.

Kedudukan fiskal negara pada separuh kedua 2016 dan awal 2017 juga dijangka bertambah baik kerana kerajaan sedang mencari pendapatan lain.

"Terdapat tanda-tanda terdapat laluan ke arah ekonomi maju dan pada
pandangan kami, Malaysia kekal sebagai sebuah ekonomi yang kompetitif di kalangan pasaran sedang muncul lain," katanya.

Lebihan dagangan negara juga kekal sihat, dengan rizab asing yang boleh menyokong 8.5 bulan import tertangguh dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar setahun penuh 2016 akan mencatat 4.0 peratus, sesuatu yang boleh dipuji berikutan pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Hanifah berkata, dengan permintaan domestik yang lebih lemah, data eksport dan inflasi yang rendah, Franklin Templeton Investment menjangka pertumbuhan Malaysia akan menurun dan dasar monetari akan terus akomodatif sehingga 2017, dengan potensi satu lagi pemotongan kadar dasar semalaman mungkin berlaku.

"Projek pembangunan infrastruktur adalah satu daripada perbelanjaan fiskal utama yang kami percaya akan memanfaatkan ekonomi dan rakyat jika ia disasar dan diagihkan secara telus berikutan kesan penggandanya ke atas sektor lain seperti pembinaan, pengeluaran dan perkhidmatan.

"Pengumpulan dana juga akan merangsang bekalan pasaran bon dan sukuk, yang menawarkan tempat yang baik kepada pengurus pelaburan dengan portfolio tempatan seperti Franklin Templeton, untuk melabur," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS