Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cukup-cukuplah tohmah SPR, kata SPR kepada Maria Chin
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 2:13 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempersoalkan apakah Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah sengaja berpura-pura dan enggan mengakui bahawa pilihan raya yang berlangsung di negara selama ini adalah telus.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, ini kerana setiap kali pilihan raya berlangsung sama ada pilihan raya umum (PRU) mahu pun pilihan raya kecil (PRK), pihak pembangkang dan kerajaan terlibat sepenuhnya.

Dalam mana-mana setiap kali pilihan raya diadakan, kedua-dua pihak akan melantik ejen-ejen parti politik mereka sebagai pemerhati, kata Mohd Hashim.

"Bila masa akan berlaku penipuan. Ada kononnya kata SPR bawa lari kotak undilah dan macam-macam. Sedangkan kertas dalam kotak undi itu tidak bermakna apa-apa selepas keputusan (penjumlahan) sesuatu peti undi itu dipindahkan atau dicatatkan ke borang yang ditetapkan SPR.

"Soalnya, adakah Maria Chin ini sengaja berpura-pura enggan mengakui pilihan raya umum termasuk pilihan raya kecil di negara ini adalah telus?

"Tak akanlah hanya bila Malaysia dimiliki oleh parti-parti pembangkang barulah dia akui oh pilihan raya di Malaysia bagus dan amat telus? soal Mohd Hisham dipetik Mingguan Malaysia menerusi ruangan Rencana.

Malah, Mohd Hashim mempersoalkan apa yang tak bersihnya pilihan raya di negara ini.

"Apa (pilihan raya umum) yang tak bersihnya? Kalau diikut-ikutkan, pembangkang menang berapa negeri? Ada kerusi parlimen, kerusi Dewan Negeri Undangan (DUN) yang pembangkang tidak menangkah?

"Kalau kita (SPR) tipu sepanjang masa, mana mungkin pembangkang akan menang," tegas Mohd Hashim.

Kata Mohd Hashim, BERSIH 5 boleh memeriksa semula pelaksaan pilihan raya yang berlangsung selama ini melalui ejen-ejen mereka.

"BERSIH 5 sebenarnya boleh periksa balik dengan ejen-ejen parti politik yang memantau proses pengiraan atau penjumlahan undi setiap kali pilihan raya.

"Mereka menjadi saksi kerana ada di situ. Daripada masa pengundian dijalankan, siapa yang datang mengundi, merekalah saksinya."Ada ejen atau wakil parti pembangkang dan kerajaan," Kata Mohd Hashim.

Tambah Mohd Hashim, Maria perlu bersikap adil dengan menghormati pilihan rakyat dan tidak bertindak terlalu agresif.

"Maria Chin janganlah agresif sangat. Kalau asyik nak persendakan SPR, cakap dia saja yang betul, susahlah.

"Jagalah hati rakyat, kerajaan pelaksana janji-janji dan kesejahteraan kepada rakyat. Cukup-cukuplah mentohmah SPR," tambah Mohd Hashim.

Lihat Komen
ADS