Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai JPM mahu pemimpin agama 'nasihat' peserta BERSIH
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 4:17 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Pegawai di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menyeru semua pihak khususnya pemimpin agama agar menghalang sesiapa saja daripada menyertai sebarang aktiviti anjuran BERSIH.

Beliau yang juga pembantu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana adalah cukup terang lagi bersuluh bahawa BERSIH adalah gerakan bermotifkan politik dan kepartian.

"Apabila cukup terang lagi bersuluh BERSIH adalah gerakan bermotifkan politik dan kepartian, adalah elok bagi semua pemimpin agama untuk menghalang sesiapa pun daripada menyertai sebarang aktiviti anjuran BERSIH," kata Rizal.

Kata Rizal, dakwaan beliau terhadap Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah adalah jelas berdasarkan ucapan-ucapan yang dilaungkan pada BERSIH 4 tahun lalu menerusi video yang turut dikongsikannya.

"Saya mahu melontarkan pertanyaan kepada Maria Chin adakah ucapan-ucapan yang dilaungkan pada BERSIH 4 tahun lalu termasuk di dalam video ini boleh dianggap berunsur politik atau kepartian?," soal Rizal.

Dalam video yang dikongsikan Rizal memaparkan pemimpin BERSIH menyeru para peserta himpunan menolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, Rizal mempersoalkan adakah Maria Chin dan BERSIH berani untuk mengisytiharkan bahawa BERSIH sekarang ini adalah bebas dari unsur politik dan kepartian.

"Adakah hasutan supaya rakyat menolak parti politik tertentu adalah sebahagian daripada agenda BERSIH untuk mereformasikan pilihan raya?," tanya Rizal lagi.

Hakikatnya, Rizal berkata, BERSIH sebenarnya tidak 'bersih' apabila meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dituduh dengan dua pertuduhan rasuah melancarkan BERSIH 5 di Pulau Pinang.

"Di sebalik suara desakan-desakan yang mahu Lim Guan Eng berundur dari jawatan ketua menteri termasuk oleh Ambiga dan Tony Pua sebelum ini jika beliau didakwa atas tuduhan rasuah, namun Guan Eng masih berkuasa sehingga hari ini," kata Rizal.

Lihat Komen
ADS