Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Noh: BN tak sabotaj air, Azmin nyanyi 'bangau oh bangau'

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar mencabar Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali membuat laporan pada pihak berkuasa sekiranya mempunyai bukti berhubung dakwaan yang mengatakan BN mensabotaj Sungai Semenyih.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu juga menyamakan pemerintahan Azmin kini umpama lagu "Bangau oh bangau" yang mencari kesalahan orang lain berhubung permasalahan di negeri berkenaan.

"Kalau benar menteri besar ada bukti yang BN lakukan sabotaj di Sungai Semenyih, saya cabar menteri besar buat laporan polis atau pada pihak berkuasa. Kita nak tengok betul ke tak dakwaan sabotaj. Kata ada bukti, jadi apa tunggu lagi?

"Saya lihat kerajaan negeri ini seperti lagu 'Bangau oh bangau'. Selagi kerajaan negeri amalkan seperti 'Bangau oh bangau' ertinya mereka akan mencari salah orang lain dan letak kesalahan orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam laporan New Straits Time Online semalam, Azmin menyalahkan BN dengan mendakwa pencemaran di Sungai Semenyih disebabka sabotaj BN dan Umno.

Anggota parlimen Gombak itu dilaporkan mendakwa turut mempunyai "bukti kukuh" berhubung dakwaannya itu.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) semalam berkata beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang sedang mengalami gangguan bekalan air sementara susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

SYABAS dalam kenyataannya berkata LRA itu ditutup pada 7.30 pagi semalam akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Kawasan yang mengalami gangguan di daerah Hulu Langat ialah Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching.

Bagi daerah Kuala Langat, ia merangkumi Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Sementara untuk daerah Petaling, kawasan terjejas ialah USJ 1-27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang.

Kawasan di daerah Sepang pula melibatkan Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab.

Lihat Komen
ADS