Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pandikar beri amaran pada pembangkang, jangan main-main

Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran kepada pembangkang supaya  tidak mengheret beliau dalam permainan politik.

Ini susulan tindakan pembangkang yang bertindak keluar dewan, Jumaat lalu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang membentangkan Bajet 2017.

“Saya tertekan, oleh kerana seolah-olah saya menghalau, tetapi Yang Berhomat tahu bahawa perkara itu telah dirancang.

"Jangan heret saya dalam permainan politik Yang Berhormat... bermain politik sesama Yang Berhormat (penyokong kerajaan).

"Apabila saya duduk di sini, saya buat yang terbaik untuk semua, jangan menggunakan saya sebagai strategi politik," katanya di Dewan Rakyat.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) bagaimanapun mencelah dan cuba menenangkan keadaan dengan memberikan penjelasan sebenar di sebalik tindakan sebahagian ahli-ahli parlimen pembangkang berbuat demikian.

“Ketika mereka keluar dewan mereka bukan menunjukkan ketidakpuasan hati ke atas Tan Sri Speaker.

"Ahli-ahli parlimen pembangkang melahirkan rasa tidak puas hati ke atas perdana menteri, tiada kaitan dengan speaker.

“Jadi saya tidak faham mengapa Tan Sri Speaker membangkitkan hal ini,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kekecohan tercetus sekitar jam 6 petang Jumaat lalu apabila Najib selaku menteri kewangan mengkritik pembangkang dalam pembentangan belanjawannya.

Blok pembangkang kecuali pemimpin PAS kemudiannya membantah ucapan itu sambil mengangkat plakad tertera ‘Siapa MO1’ sebelum keluar meninggalkan Dewan.

Turut berbuat demikian adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia adalah kali pertama dalam sejarah bagi pembangkang untuk meninggalkan Dewan Rakyat ketika belanjawan sedang dibentangkan sebagai tanda protes terhadap ucapan tersebut.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Pandikar berkata beliau mengetahui lebih awal plot pembangkang untuk keluar Dewan Rakyat pada pembentangan Bajet 2017, Jumaat lalu.

Katanya beliau mendengar ura-ura tindakan itu sehari sebelum pembentangan Bajet 2017 oleh Najib.

"Yang Berhormat fikir telinga saya ini tidak dengar apa-apa? Ada mesej yang sampai kepada saya daripada teman-teman bahawa esok ada tindakan keluar dewan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kepada Anggota Parlimen berhubung larangan perbincangan mengenai tindakan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana bersifat subjudis selepas sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tindakan keluar dewan berlaku selepas Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) membangkitkan sama ada isu DoJ boleh dibincangkan pada sesi perbahasan.

Pandikar berkata beliau sudah membuat keputusan mengenai perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa ia tidak boleh dibincangkan kerana subjudis.

Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Jumaat lalu dicemari tindakan Anggota Parlimen pembangkang yang mempamerkan plakad dan bertindak keluar dari Dewan Rakyat.

 

Lihat Komen
ADS