Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Henti bercakaran, tumpu 'musuh sebenar' - Syed Ali
Diterbitkan:  Oct 24, 2016 4:13 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mahu ahli parti itu menghentikan segala percakaran dan pertikaman lidah sesama sendiri laman sosial tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada "musuh sebenar".

Menurutnya, lawan sebenar Umno adalah parti-parti pembangkang dan perpecahan dalaman hanya akan melemahkan parti itu.

"Saban hari menerusi laman-laman sosial kita dapati berlaku kecam-mengecam sesama ahli Umno, ini semua pada hemat saya amat memalukan," kata Syed Ali di blognya hari ini.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan berkenaan akan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengeksploitasikan kelemahan tersebut.

Sebaliknya, Syed Ali menggesa ahli-ahli parti untuk menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang betul.

"Perselisihan boleh dileraikan secara musyawarah dengan mengambilkira kepentingan parti, bukannya menggunakan saluran laman sosial untuk melepaskan kemarahan atau membuka aib seseorang," katanya.

Menurut beliau, ahli-ahli parti termasuk pemimpin di semua peringkat perlu berganding bahu untuk mengumpulkan segala kekuatan bagi menghadapi asakan pihak pembangkang.

"Saya percaya, ahli dan pemimpin Umno ada kelebihan, mereka ada kebolehan dan kepakaran masing-masing, ini amat bagus jika digembelingkan untuk menentang pihak musuh," katanya.

Katanya, ahli-ahli Umno perlu berganding bahu untuk berdepan dengan kemelut politkk yang dicetuskan oleh pembankang dalam usaha mereka menumbangkan parti.

Malah menurut Syed Ali, Umno selaku institusi parti politik orang Melayu dan kedudukan kepimpinan parti perlu dipertahankan.

Beliau berkata, Umno dan BN memerlukan kememangan melebihi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat tetapi ini bukan tugas yang mudah.

Menyedari itu, katanya, semua pihak dalam parti perlu bertanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan perselisihan atau konflik peribadi.

"Janganlah sesama kita nak bergaduh dan tuduh-menuduh antara satu sama lain, yang ruginya Umno, bukan pembangkang.

"Apabila sesama kita (Umno) asyik bertelagah atas beberapa isu yang dianggap kecil dan tidak relevan tetapi diperbesarkan, perlakuan kita akan dicemuh rakyat,” katanya.

Menurut Syed Ali, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan jalan penyelesaian akan menjadi rumit untuk dirungkai jika masing-masing dirasuk oleh emosi dan dendam.

"Semua pemimpin ada kelemahan, malah akan ada orang cemburu, dengki atau sakit hati terhadap seseorang pemimpin," katanya.

Syed Ali mendedahkan bahawa beliau sendiri turut menjadi mangsa kecaman dan perbuatan sakit hati oleh sesetengah pihak.

"Biasalah dalam politik, ada orang suka dan ada yang tak suka kita. Saya sendiri pun ada yang tak berkenan, tetapi saya tetap buat kerja untuk parti dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

"Biarlah, tetapi kita perlu kawal emosi dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau yang boleh menyinggung orang lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS