Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN BERSIH 2.0 mengutuk keras cadangan menteri untuk menyenaraihitamkan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada pergerakan BERSIH.

BERSIH 2.0 menolak dan mengutuk keras tindakan Menteri Abdul Rahman Dahlan yang menyokong cadangan Utusan Malaysia menyenarai hitam syarikat-syarikat yang menyumbang kepada pergerakan BERSIH.

Rahman Dahlan berkata bahawa dia akan mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk menjalankan penyemakan latar belakang ini terhadap syarikat-syarikat yang menerima kontrak kerajaan.

Tindakan sebegini adalah sesuatu yang terkutuk kerana ia memangsakan syarikat-syarikat dan bertentangan dengan hak berpersatuan.

Penyalahgunaan kuasa ini menunjukkan menteri telah hilang kewajaran terhadap kebebasan dan hak yang terkandung dalam perlembagaan, dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia.

Kerajaan seharusnya memberi fokus kepada isu-isu pokok seperti korupsi, pentadbiran yang lemah, dan kepincangan proses pilihan raya. Sebaliknya, tindakan ini menunjukkan bahawa kerajaan hendak menyekat mereka yang membantah terhadap kerajaan.

Jika syarikat-syarikat boleh dimangsakan begitu sahaja kerana menyokong pendapat yang berbeza, maka akan terbentuk budaya ketakutan dan penindasan. Jangan memangsakan syarikat dan ekonomi semata-matanya untuk mengongkong hak bersuara.

Ketiadaan dasar nasional tentang pembiayaan politik menyebabkan ketidakseimbangan kuasa yang memihak kepada parti pemerintah kerana dana dan sokongan boleh diperoleh melalui pembiayaan tersembunyi dan melalui tawaran projek sebelum dan selepas pilihan raya.

BERSIH 2.0 dan kumpulan G25 telah mendesak untuk memperkenalkan suatu pendekatan komprehensif untuk pembiayaan politik supaya korupsi dalam dikurangkan.

BERSIH 2.0 juga dituduh menerima dana dan dipengaruhi campur tangan asing, seperti mana yang pernah dilemparkan terhadap BERSIH 2.0 oleh akhbar NST pada 2014. BERSIH 2.0 telah menang dalam kes fitnah ini di mahkamah. Kini, BERSIH2.0 dibiayai melalui aktiviti kutipan dana tersendiri dan sokongan daripada rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan kami untuk menuntut ketelusan kerajaan.

Tindakan Rahman Dahlan untuk menyenarai hitam syarikat-syarikat adalah suatu bentuk ugutan terhadap penyokong-penyokong pergerakan BERSIH. Jangan biarkan ugutan ini menghalang tuntutan kita untuk reformasi institusi, sepertimana yang dituntut dalam perhimpunan BERSIH5: pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, memperkukuh demokrasi parlimen, hak membantah, dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

Rakyat Malaysia yang berminat menyokong tuntutan BERSIH 2.0 boleh menyalurkan sumbangan kepada Bersih and Adil Network Sdn Bhd Akaun Maybank: 512295102931.

Lihat Komen
ADS