Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Imigresen beri amaran kepada pemberi, penerima rasuah
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 10:23 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Bagi mengurangkan kemungkinan warga asing merasuah pegawai Jabatan Imigresen untuk dibenarkan masuk ke negara ini, jabatan itu akan melaksanakan pembaharuan dalam pentadbirannya.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jabatan itu akan terus mengambil tindakan terhadap pegawainya yang telah mencemarkan imej ribuan pegawai yang "boleh dipercayai".

Berikutan itu, Mustafar juga memberi amaran terhadap percubaan untuk merasuah pegawai-pegawai jabatan itu.

"Kami telus dan saya tidak akan menafikan bahawa beberapa pegawai saya terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Tetapi ini akan dihentikan sekarang. Kami akan bersihkan jabatan ini. Jika terdapat pegawai lain makan suap, saya akan ambil tindakan keras pada mereka dan tidak akan ada kompromi.

"Saya memberi amaran kepada semua orang - jangan merasuah pegawai saya. Jabatan ini akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain untuk mengecam mereka yang menawarkan rasuah kepada pegawai imigresen. Tidak ada pemberi atau penerima," Mustafar dipetik sebagai berkata oleh The Star hari ini.

Dilaporkan sekumpulan pegawai penguat kuasa imigresen menerima RM200 hingga RM2,500 untuk membolehkan lebih 16,000 warga asing daripada pelbagai negara keluar masuk ke negara ini.

Hasil daripada aktiviti tersebut sejak 2014, kumpulan itu dikatakan telah mengumpulkan kira-kira RM18 juta.

Mengulas perkara ini, Mustafar berkata, empat pegawai imigresen telah didakwa manakala yang lain sedang disiasat dan dipantau.

Mustafar berkata, pihaknya juga akan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memperkuatkan sistem dan prosedur serta memastikan kelemahan diperbetulkan.

Sebagai contoh, individu yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong mesti menunjukkan bukti penginapan serta tiket pergi balik ke negara asal mereka dan prosedur ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

"Sekarang, kita akan melihat bagaimana untuk memastikan peraturan ini dilaksanakan," kata Mustafar.

Lihat Komen
ADS