Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan bertemu dengan pengusaha rangkaian restoran burger babi yang dinamakan P Ramly sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkuasa dan kerajaan.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima enam laporan berhubung perkara itu setakat ini.

Sehubungan itu beliau berkata PPIM mahu bertemu pengusaha terbabit untuk menasihati mereka supaya ‘belajar hidup dalam masyarakat majmuk’.

“Kita akan jumpa dengan mereka sekiranya tidak ada apa-apa tindakan dari kerajaan. Kita nak kerajaan saman atau ambil tindakan.

“Kena cari jalan untuk lebih faham memahami dan jangan cari pasal buat provokasi, kita ada etika dan budaya. Kalau sayang kemakmuran dalam negara, kita kena berhati-hati dalam apa yang kita nak buat,” tegasnya kepada Malaysiakini.

Hari ini BH melaporkan orang ramai membantah jualan burger babi di restoran yang mempunyai rangkaian di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Seorang eksekutif swasta Nurhafezah Che Haludin, 20, berkata beliau nyaris terbeli burger itu kerana iklan mengenainya ditempatkan di laluan awam dalam pusat beli belah dekat Damansara.

Seorang pengadu dikenali sebagai Jasmin pula membandingkan isu itu dengan kontroversi nama hot dog sebelum ini dan membangkitkan nama digunakan yang mirip dengan seniman agung negara P Ramlee.
 

Ramly Burger sudah dimaklumkan

Nadzim berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Syarikat Ramly Food Processing Sdn Bhd yang merupakan pelopor produk burger halal di negara ini.

Katanya, syarikat itu disaran membuat aduan berhubung restoran tersebut kerana menggunakan nama yang sama dengannya.

“Dua minggu lalu kita sudah maklumkan syarikat pengusaha Ramly untuk ambil tindakan pasal kalau dia (Ramly Food Processing Sdn Bhd) tak boleh buat, kita (PPIM) boleh buatkan,” katanya.

Tinjauan BH mendapati menu itu diperkenalkan di rangkaian restoran itu sejak 31 Ogos lalu dengan harga RM9.90 satu set.

Seorang pekerja restoran itu dilapor memberitahu nama “p” merujuk kepada pork (daging babi).

 

Lihat Komen
ADS