Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber ikan di perairan pantai M'sia merosot 80%
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 3:07 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Sumber ikan di perairan pantai di Malaysia kini mengalami kemerosotan dan menurun sehingga 80 peratus berikutan penggunaan pukat tunda yang semakin berleluasa.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata analisis yang dijalankan Jabatan Perikanan menunjukkan kepadatan ikan merosot daripada 24 hingga 53 metrik tan bagi setiap kilometer persegi pada tahun 1970 kepada sekitar tiga hingga 14 metrik tan kilometer persegi sekarang ini.

"Sumber ikan di beberapa kawasan seperti di pantai barat Semenanjung Malaysia juga telah diterokai sepenuhnya dan tidak ada lagi ruang kosong untuk dikembangkan dan kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan penurunan pada aras trofik (rantaian sumber makanan).

"Keadaan ini menunjukkan bahawa kualiti tangkapan dari segi spesies yang didaratkan juga menurun, jadi kami perlu mengambil langkah segera iaitu meningkatkan pengurusan sumber perikanan yang lebih berkesan dengan mengambil pendekatan secara menyeluruh bagi mengatasi masalah sumber ikan yang semakin merosot itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar dan Konvokesyen Penyelidikan Perikanan, hari ini.

Seminar dan konvokesyen tiga hari yang diadakan di Institut Penyelidikan Perikanan, di Batu Maung, dekat Georgetown dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ismail berkata beberapa langkah segera telah dirancang untuk menangani kemerosotan sumber ikan di perairan pantai, antaranya memperkasakan program pemantauan, pemuliharaan dan pemerhatian rapi (MCS) di kawasan laut.

Beliau berkata pihaknya juga mahu Akta Perikanan 1985 termasuk penguatkuasaan undang-undang ke atas aktiviti perikanan di perairan Malaysia dikembalikan sepenuhnya kepada Jabatan Perikanan bagi menjamin sumber bekalan makanan kepada negara.

"Pengurusan kawasan Perlindungan Marin seperti Taman Laut juga dicadang diletakkan semula di bawah Jabatan Perikanan kerana berdasarkan kekuatan kakitangan, kepakaran dan keupayaan penyelidikan jabatan, saya percaya kami mampu mengatasi konflik serta isu dan membela nasib nelayan.

"Gabungan semula pengurusan Taman Laut di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Sumber Tani juga akan membuka ruang penyelarasan yang lebih sistematik selari dengan perkembangan industri perikanan negara," katanya.

Beliau berkata selain itu, Jabatan Perikanan juga akan mewajibkan Alat Peranti Penyisih Penyu (TED) kepada nelayan bot pukat tunda musim tengkujuh bagi memastikan pukat yang digunakan nelayan tidak memberi kesan kepada hidupan marin yang hampir pupus terutama penyu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS