Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid bimbang salah guna dadah di kalangan pelajar

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melahirkan kebimbangan kerajaan berhubung tahap penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

"Pengedar dadah kini bertindak menggunakan pelajar untuk menjadi penagih supaya pasaran dadah dapat dipertingkatkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau turut merujuk kepada satu kajian Kementerian Pendidikan melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar Tingkatan Satu hingga Enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata 74 peratus daripadanya mengambil methamphetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain.

Menurutnya, hasil kajian mendapati pelajar Tingkatan Lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti Tingkatan Empat (32.5 peratus), Tingkatan Tiga (19.8 peratus), Tingkatan Dua (5.4 peratus) danTingkatan Satu (0.08 peratus).

"Daripada jumlah ini, Kedah negeri paling tinggi yang pelajarnya mencuba dadah iaitu 274 pelajar, diikuti 197 di Kelantan, 180 di Perak dan selebihnya negeri-negeri lain," kata Ahmad Zahid.

Beliau seterusnya berkata antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat itu ialah mengambil langkah mencairkan aset pengedar dadah yang dirampas dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Kita rampas semua aset dan harta itu dan kita mohon mahkamah agar mencair dan menunai aset itu dan hasil penjualan boleh digunakan untuk bantu aspek pencegahan dan pemulihan," katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut meluluskan cadangan menubuhkan Makmal Khas Ujian Dadah Berbahaya di Hospital Kuala Lumpur.

Mengenai cadangan mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan dadah, beliau berkata ia telah bermula sekali gus mempercepat proses perbicaran dan keputusan mahkamah.

Ahmad Zahid berkata kementerian juga akan meneruskan usaha memperkasakan tindakan sedia ada oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Persatuan
Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) supaya lebih berkesan.

"Kita akan bertemu 30 hari akan datang (untuk mesyuarat ini). Saya tak mahu lagi lihat keputusan hanya di atas kertas dan ia perlu diterjemahkan dalam bentuk operasi dan tindakan susulan," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak termasuk ibu bapa supaya bekerjasama dalam membanteras dadah dan tidak meletakkan tugas itu hanya kepada agensi penguatkuasaan dan pemulihan dadah.-Bernama

Lihat Komen
ADS