Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari kedua-dua pihak pembangkang dan BN dipercayai telah memulaukan mesyuarat jawatankuasa berkenaan akhir-akhir ini berikutan perbezaan pendapat dengan ketuanya, Datuk Hasan Arifin.

Menurut sumber, ahli parlimen ini secara berterusan tidak hadir apabila PAC bermesyuarat sepanjang April hingga Oktober.

PAC dijadualkan bermesyuarat lagi mulai esok dan pemulauan dijangka berterusan.

Adalah difahamkan pemulauan itu berpunca daripada keputusan Hasan yang secara unilateral memadamkan ayat utama dalam laporan PAC mengenai siasatan ke atas 1MDB, selepas ia secara kolektif diluluskan.

Ayat yang menjadi pertikaian itu menyatakan bahawa Bank Negara telah memaklumkan kepada PAC yang Good Star Ltd dimiliki oleh individu yang tidak dikaitkan dengan kumpulan PetroSaudi.

Sejak itu, telah dipastikan bahawa Good Star dimiliki oleh hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low, yang menurut pihak berkuasa Amerika menyelewengkan dana 1MDB.

Syarikat itu menerima AS$1.03 bilion dana 1MDB yang sepatutnya bagi membiayai projek usaha sama dengan PetroSaudi International.

Ketika dihubungi, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengesahkan bahawa beliau, bersama-sama dengan ahli parlimen Teluk Kemang, Kamarul Baharin Abbas Shah dan Ahli Parlimen Selayang William Leong, selama ini tidak menghadiri mesyuarat PAC.

Mengenai sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat PAC akan datang, Pua menjawab: "Saya mungkin keluar negara".

Sementara itu, Malaysiakini telah menghubungi seorang ahli parlimen BN yang dikatakan juga menghilangkan dirinya daripada mesyuarat.

Beberapa sumber yang sangat dipercayai memberitahu Malaysiakini bahawa Ahli Parlimen BN itu memang telah tidak hadir pada mesyuarat PAC sejak laporan mengenai 1MDB dibentangkan.

Mesyuarat PAC esok dijadual membincangkan Agrobank milik kerajaan.

Adalah difahamkan, dua wakil rakyat pembangkang - ahli parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan - bukan sebahagian daripada anggota yang memulaukan mesyuarat itu.

Tan dari DAP adalah timbalan pengerusi PAC.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS