Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lepas insiden tikus, ramai bimbang kebersihan Mid Valley

TINJAUAN Ekoran insiden terdapat tikus di atas roti bakar syarikat Komugi Bakery, para pengunjung termasuk kakitangan yang bertugas hari ini melahirkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan pusat beli belah Mid Valley.

Mengikut tinjauan Malaysiakini pada hari ini, premis perniagaan milik syarikat francais Komugi itu telah ditutup sementara bagi membantu siasatan selepas kejadian berkenaan.

Namun, penutupan sementara premis berkenaan masih tidak mencukupi, sebaliknya, semua yang berkenaan menggesa pihak pengurusan melakukan kerja-kerja pembersihan oleh kerana tikus adalah haiwan kotor dan bahaya kepada manusia.

Bagi Nurul Adina Mohd Puad (bertudung merah) yang bekerja di Mid Valley, beliau pernah terserempak dengan tikus dan lipas ketika makan di medan selera di pusat membeli belah itu.

Katanya, walaupun menyedari medan selera di situ kotor, beliau dan rakan-rakannya akan makan di situ kerana harga yang lebih murah berbanding restoran lain.

“Kawasan Mid Valley memang banyak tikus, pernah terserempak sampai menjerit pun pernah. Pihak pengurusan perlu ambil tahu.

“Pekerja di sini akan pergi food court untuk makan, jadi pada penilaian saya, food court pun tak bersih. Ada tikus dan lipas tapi kita tak ada pilihan sebab itu sahaja yang murah,” katanya yang sudah dua tahun bekerja di situ.

Bagi Mardiah Mahmud (atas, berbaju hijau) pula, walaupun syarikat Komugi telah menutup cawangan mereka buat sementara waktu untuk kerja pembersihan, namun stigma bahawa kedai itu kotor tidak akan hilang dari mindanya.

“Sekarang saya ada rasa takut, bila dah kena dekat diri sendiri dah rasa tak nak pergi walaupun dia dah baik pulih. Tidak akan pergi makan, walaupun dia dah upgrade tapi masih ada stigma tempat ini kotor.

“Saya juga sangat berjaga-jaga sebab bagi saya nak pergi kedai macam tu tapi kalau tak familiar tak akan pergi walaupun dia ada sijil halal,” katanya yang sudah setahun bekerja di pusat beli belah itu.

Malaysiakini telah berkunjung ke pusat membeli belah itu bagi mendapat komen dari pihak pengurusan namun sehingga kini mereka enggan mengulas lanjut berkaitan perkara itu.

Manakala pengunjung pusat beli belah itu pula, Mohd Nizam Mohd Zin berkata, pihak pengurusan perlu menangani masalah tersebut segera kerana tikus adalah makhluk yang berbahaya.

Katanya, beliau yakin Mid Valley telah meletakkan harga yang tinggi kepada para penyewa dan hasil dari sewa yang tinggi itu, pihak pengurusan hendaklah membuat pest control setiap hari supaya masalah itu dapat di tangani.

“Bila pasar raya besar macam ni dari luar nampak ok, dalaman tak tahu. Sepatutnya pihak pengurusan kena melihat perkara ini kerana penyewa dah bayar sewa yang tinggi. Walaupun ini kes terpencil tapi kena pandang serius.

“Takut bila perkara ni berlaku sebab sekarang ini ada kencing tikus, jadi perkara itu tak perlu berlaku di tempat macam ni. Patut lebih pandang serius.

“Operasi di Mid Valley tinggi, pendapatan tinggi jadi tak ada masalah nak buat pest control setiap hari. Buat masa ini tak ada apa-apa lagi, jangan nanti dah ada kes baru nak ambil tindakan,” katanya.

Selain itu, mahasiswa Universiti Malaya Shahidah Akmal Abdul Rahman pula berkata, selepas kejadian itu, beliau lebih berhati-hati untuk memilih tempat makan.

Tambahnya, pihak kedai dan juga pengurusan perlu sama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah ini tanpa menuding jari antara satu sama lain.

“Rasanya pihak pengurusan kena pantau setiap bulan tentang kebersihan premis, jangan luar sahaja indah tapi bawah tanah tak tahu macam mana. Komugi tak boleh salahkan pihak pengurusan seratus peratus, kena sama-sama (tangani masalah),” katanya.

Semalam, syarikat itu membuat permohonan maaf terbuka selepas gambar tikus dirakam berada di atas roti yang baru dibakar dalam kedai berkenaan.

 

 



Syarikat francais roti itu berkata kehadiran tikus sudah menjadi isu yang sedia dimaklumi di pusat beli belah itu dan ia dikatakan pernah berlaku.

Komugi juga berkata pihaknya sudah melaporkan perkara itu kepada pengurusan pusat beli-belah terlibat.

Gambar berkaitan mula beredar di laman sosial selepas pengguna Facebook Melon Roux memuat naik gambarnya Ahad lalu.

Beliau tidak menamakan kedai itu tetapi ia serupa dengan hiasan kedai Komugi.

Posting itu kini sudah mencecah lebih 5,400 perkongsian dan 2,000 komen.

Dalam reaksi segeranya, Mid Valley Megamall Management hari ini tampil memohon maaf kepada para pelanggannya berhubung insiden mengaibkan yang berlaku di pusat membeli-belah tersebut baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS