Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Statistik jenayah libatkan mangsa wanita menurun

Statistik mangsa jenayah dalam kalangan kaum wanita menunjukkan penurunan tahun demi tahun berikutan kempen kesedaran yang
dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Rusli Ahmad berkata jumlah mangsa jenayah dalam kalangan wanita menurun daripada 42,917 kes pada 2014 kepada 37,791 kes pada tahun lepas.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini pula sebanyak 28,252 kes dicatatkan, katanya.

Rusli berkata antara kes jenayah yang melibatkan wanita sebagai mangsa ialah bunuh, rogol, samun, kekerasan hingga mendatangkan kecederaan, curi dan pecah rumah.

"Pihak polis mahu angka ini terus menurun pada masa hadapan dengan mengajak seluruh masyarakat bersama-sama kita sebagai pelapor ke arah memerangi jenayah," katanya pada sidang media sempena gimik pelancaran program 'Walk the Talk 2016-Community Against Violence' di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyempurnakan gimik pelancaran program itu berkata trend penurunan turut dilihat pada bilangan kes keganasan rumah tangga yang mana pada 2015 sejumlah 667 kes dicatatkan berbanding 707 kes pada 2014.

Bagi enam bulan pertama tahun ini pula sebanyak 199 kes direkodkan, katanya.

Rohani berkata apa yang membimbangkan adalah terdapat kes keganasan rumah tangga melibatkan warga emas walaupun angkanya tidak tinggi iaitu 15 kes pada tahun 2015 dan tujuh kes pada 2014.

"Pada peringkat usia tersebut mereka sepatutnya lebih disayangi. Kami kini menggerakkan usaha untuk mencari punca permasalahan sebegini," katanya.

Program 'Walk the Talk 2016-Community Against Violence' akan diadakan pada 27 Nov di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur dengan sasaran menarik 1,000 penyertaan. -Bernama

Lihat Komen
ADS