Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banting, menu, resit jualan burger babi P Ramly disita
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 1:19 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dua jabatan agama negeri dilapor sedang menyiasat isu penggunaan nama P Ramly terhadap burger babi di sebuah rangkaian kedai makan.

Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata mereka akan bertindak terhadap pengusaha restoran itu jika melanggar akta, kerana mengelirukan pengguna.

“Penguat kuasa kita berjumpa pengusaha terbabit dan membincangkan perkara ini kelmarin.

“Kita akan ambil tindakan sepatutnya jika kita pasti mereka buat kesalahan mengikut peruntukan sedia ada,” Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat pengusaha jualan burger babi di restoran di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Persatuan Pengguna Islam dan orang ramai sebelum ini dilapor mempertikai penggunaan nama itu yang didakwa mengelirukan.

Penggunaan nama mirip legenda seni negara P Ramlee juga dilihat tidak sesuai.

Berita Harian sebelum ini melaporkan seorang pekerja kedai itu memberitahu wartawannya bahawa huruf “P” pada perkataan “P Ramly” merujuk kepada “pork” (babi).

Terdapat juga pelanggan Islam mendakwa mereka keliru dengan jenama burger Ramly keluaran syarikat Bumiputera yang berstatus halal.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Facebook bahagian hab halalnya kelmarin menjelaskan burger itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Jualan terus, nama ditukar

Sementara itu, restoran tersebut Ninja Joe melalui Facebook dilapor berkata, mereka akan terus menjual burger tersebut tepi akan menukar kepada nama lain.

Menurutnya, perkataan Ramly untuk burger daging babi itu adalah penghormatan kepada jenama Ramly sebagai pengeluar burger ternama negara ini, tiada kaitan dengan P Ramlee dan satu kebetulan.

Sementara itu, siasatan dilapor dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk rangkaian restoran itu di negeri masing-masing.

Memetik sumber JAIS, BH melaporkan kertas siasatan akan diserahkan kepada KPDNKK mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan bersama pegawai KPDNKK di premis restoran itu di Kota Damansara semalam (kelmarin), JASI menyita satu banting, sekeping menu makanan, resit jualan P Ramly burger untuk siasatan,” sumber itu dipetik sebagai berkata.

Sementara pasukan penguat kuasa JHEAINS pula difahamkan memeriksa premis itu semalam dan mendapati semua poster dan iklan burger babi P Ramly sudah tiada.

Di kedainya di Damansara, tinjauan BH juga mendapati tiada lagi poster iklan kontroversi itu.

Lihat Komen
ADS