Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Usul Pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui Rang Undang-Undang Ahli Persendirian semakin hari semakin menarik perhatian pelbagai pihak. Bukan sahaja parti politik bahkan pertubuhan bukan kerajaan dan individu.

Uniknya, inilah satu-satunya pindaan akta yang dibahas secara terbuka kepada masyarakat di pelbagai peringkat sebelum ia dibentang dan dibahas di parlimen.

Sedang pengalaman saya di parlimen, ratusan akta telah dipinda melalui perbahasan dalam Dewan Rakyat tanpa melalui perbahasan awam malah tidak pun disedari oleh masyarakat awam. Tahu-tahu ia dibahas dan diluluskan di parlimen.

Berbeza dengan Akta 355 ini. Usaha untuk memindanya demi memartabatkan mahkamah syariah dan memberi hak kepadanya menjatuhkan hukuman berdasarkan hukuman yang menepati undang-undang syariat Islam telah melalui jalan sukar dan berliku.

Pelbagai bantahan bermula dengan langkah mengheret pembawa usul (Abdul Hadi) ke mahkamah, demontrasi di hadapan parlimen, debat, wacana, dialog terbuka, pertemuan tertutup dan sebagainya.

Demikian juga pihak yang menyokong dengan pelbagai aksi, cara gaya dan pendekatan mereka. Pentas politik dan forum rakyat menjadi meriah dengan isu ini.

Malangnya kemeriahan ini tercemar dengan sikap keterlaluan dan melampau. Sama ada keterlaluan dalam menyokong mahupun melampau dalam menolak.

Kedua-dua sikap ini merosakkan keharmonian bermasyarakat dan kemurnian berhujah. Bila dan di manapun, sikap melampau dan keterlaluan ini menyusahkan. Namun ia sebuah realiti yang mesti depani secara bijak dan dewasa.

Jauhkan kafir mengkafir

PAS mempertegaskan bahawa usaha meminda Akta 355 ini selayaknya - bahkan sewajibnya - disokong oleh ahli parlimen terutama bagi yang beragama Islam. Justeru pindaan ini bermaksud memberi hak kepada mahkamah syariah agar boleh menjatuhkan hukuman menepati Undang-Undang Syariat Islam. Bukankah Allah swt berfirman bermaksud: "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sesetengah daripada dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik (al-Maaidah : 49).

Dasar, prinsip dan teknikal yang berbangkit sekitar usaha meminda Akta 355 untuk memartabatkan mahkamah syariah akan diperjelaskan dari semasa ke semasa oleh PAS tanpa bosan dan insya-Allah kita bersedia menemui siapa jua pihak yang ingin mencari kebenaran.

Adapun pihak yang hanya mahu mencari populariti murahan, rating di Facebook, kelemahan yang mahu dieksploit, debat yang melampau, spin dan sebagainya, biarlah mereka tenggelam dalam keseronokan dan hanyut dalam keghairahan mereka membohongi dan memperbodohkan diri sendiri. Bagi mereka yang berlapang dada, bersikap terbuka, ikhlas dan jujur dalam perbincangan dan persahabatan, maka kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah dan juga penghargaan.

PAS akan akan terus melangkah dengan cara dan pendekatan tersendiri untuk memahamkan ummah terhadap apa yang diperjuangkan. Meredah kabut kejahilan, mengharung badai cabaran dan menongkah rintangan yang menghalang dengan penuh sabar, tabah dan tekun.

Membudayakan politik matang dan sejahtera bercirikan politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar, maka PAS bersikap terbuka bertemu dengan siapa jua, mendengar pandangan, menerima kritikan dalam usaha membawa Islam dan apa yang diperjuangkannya.

PAS menerang tidak menghukum. PAS berdakwah dan melunakkan madu'u (sasaran dakwah) bukan menjauh dan meliarkan mereka. Kita pendakwah bukan qadhi. Jauhkan diri dari kafir mengkafir dan label yang tidak selayaknya sesama ummat Islam.

Sebaliknya terus berusaha tanpa letih untuk memahamkan ummah dan membimbing mereka biarpun mereka menentang dan tidak bersetuju dengan apa yang kita perjuangkan selama mana mereka tidak bertindak zalim dan melampau atau bertindak keras ke atas kita.


NASRUDIN HASSAN ketua penerangan PAS dan anggota parlimen Temerloh

Lihat Komen
ADS