Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki warga Australia hilang di Taman Negara Mulu
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 3:32 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Satu operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan untuk mengesan seorang lelaki warganegara Australia yang hilang di Taman Negara Mulu sejak 20 Oktober lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Zulbada Alior berkata Andrew Gaskell, 26, tidak dapat dihubungi sejak 20 Oktober lalu selepas memasuki Taman Negara Mulu, menyebabkan usaha mencari dan menyelamat dibuat hari ini.

"Kami sudah menghantar pasukan mencari dan menyelamat hari ini menggunakan bot namun perjalanan mengambil masa empat atau lima jam menggunakan sungai ke sana," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Zulbada berkata jika paras sungai cetek pasukan itu mungkin terpaksa menggunakan bot panjang orang tempatan.

Beliau berkata sebelum dilaporkan hilang, mangsa telah bermalam selama dua malam dengan seorang rakyat tempatan bernama Timothy Balang di Mulu dan sempat memaklumkan akan balik pada 21 Oktober tetapi sehingga sekarang tidak dapat dihubungi.


Operasi SAR anak kapal Doha

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anak kapal MT Doha warga Jepun yang dilaporkan terjatuh daripada kapalnya pada 23 Oktober lepas kini tertumpu di kawasan Tanjung Tuan, Port Dickson.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan Mohd Sufian Anuar berkata operasi yang disertai 30 anggota agensi itu memulakan operasinya pada pukul 7 pagi tadi melibatkan pencarian sejauh 400 batu nautika persegi.

"Hari ini adalah hari kelima pencarian dan operasi mencari dan menyelamat telah pun bermula pada pukul 7 pagi tadi dan dijangka tamat pada pukul 7 malam sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

"Pencarian di Tanjung Tuan adalah kerana kita menerima petunjuk baru daripada agen dan anak kapal MT Doha yang mana dipercayai di kawasan inilah mangsa jatuh... sebelum ini dianggarkan beliau jatuh di Tanjung Kling, Melaka," katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

Pada 23 Oktober lepas media melaporkan seorang anak kapal MT Doha yang dikenali sebagai Atsuhiro Kodama, 56, yang merupakan ketua jurutera kapal berkenaan disyaki terjatuh selepas mangsa didapati tidak berada di kapal berkenaan oleh kapten kapal kira-kira 6.58 pagi Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Sufian berkata bagaimana pun operasi SAR di Tanjung Kling masih lagi diteruskan.

Sementara itu, Pengarah APMM Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan dalam satu kenyataan di sini berkata agensi itu melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Baharu telah mengaktifkan semula operasi SAR kru kapal MT Doha bermula semalam selepas dihentikan pada Selasa lepas selepas tiga hari pencarian dilakukan.

Beliau berkata operasi SAR yang disambung semula semalam ekoran pihaknya menerima maklumat baharu daripada agen kapal MT Doha berhubung lokasi sebenar dimana kru kapal tersebut dipercayai terjatuh.

"Lokasi terbaru itu lebih kurang lapan batu nautika selatan Tanjung Tuan dan tumpuan pencarian akan dilakukan dilokasi tersebut merangkumi keluasan 400 batu nautika persegi.

Dalam pada itu, Adon berkata orang ramai yang mempunyai sebarang aduan kecemasan atau jenayah laut boleh menghubungi talian MERS 999 atau MRSC Johor Baharu di talian 07-2219231.

- Bernama

Lihat Komen
ADS