Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dasar S'gor antara punca harga rumah naik, kata Noh Omar
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 3:32 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pelaksanaan dasar perumahan kerajaan negeri Selangor tanpa memberi subsidi, tidak membantu mengawal kenaikan
harga rumah di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri Selangor hanya melaksanakan dasar dengan menetapkan kepada pemaju bahawa 30 peratus daripada kawasan dimajukan perlu dibina rumah mampu milik.

Bagaimanapun kerajaan Selangor tidak memberi sebarang subsidi kepada pemaju bagi membantu mengurangkan kos pembinaan rumah itu, katanya.

"Kerajaan negeri Selangor hanya tahu buat dasar saja, setakat buat dasar saja tidak bantu kurangkan harga rumah," katanya semasa menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mengenai tindakan dan peranan kerajaan negeri dalam mengawal kenaikan harga rumah pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata kerajaan pusat mengambil langkah berbeza dengan memperkenalkan sistem subsidi, iaitu membantu pembeli melalui bantuan kewangan melalui skim Myhome dan pemilik rumah pertama Mydeposit.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Noh berkata kajian semula Dasar Perumahan Negara dijangka akan menyertakan peruntukan untuk kerajaan Persekutuan boleh campur tangan dalam perkara menentukan harga rumah terutama untuk harga rumah mampu milik.

Noh berkata pihaknya telah meminta Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai pakar rujuk untuk mengkaji semula dasar ini berikutan dasar itu akan berakhir pada tahun depan.

"Satu daripada isu yang kami minta MPN kaji dan bincang pelbagai pihak, bagaimana cara kerajaan boleh campur tangan mengenai menentukan harga rumah," katanya.

Biarpun kerajaan Persekutuan telah menetapkan dasar seperti rumah mampu milik perlu berharga RM300,000, namun katanya; "Rumah yang kita lihat bukannya mampu milik tetapi hanya mampu lihat."

Beliau berkata hakikatnya kini kuasa untuk menentukan harga rumah terletak dalam kuasa kerajaan negeri.

Ini kerana harga rumah ditentukan di mana lokasi rumah itu dibina; bayaran premium tanah kepada kerajaan negeri; kos yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti caj pematuhan dan caj pembangunan; dan kos ditanggung pemaju (iaitu kos buruh dan bahan binaan).

- Bernama

Lihat Komen
ADS