Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS: Tiada masalah dedah rakaman bincang Akta 355

PAS tiada masalah jika perbincangannya dengan beberapa pendakwah yang tidak sependapat dengan usul meminda Akta Mahkamah Syariah yang dikemukakan presidennya didedah.

Anggota Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata mereka tiada masalah kerana masing-masing telah menyuarakan pandangan dalam isu itu.

"Tak apa, tidak ada masalah.

"Kita telah bertemu dan memberikan pandangan masing-masing.

“Insya-Allah itu cara kita bertemu dan berbincang. (Perbincangan) positif, Dr Rozaimi (Ramle) beri pandangan dia dan kita beri pandangan kita," kata Dr Khairuddin.

Rozaimi semalam dalam Facebooknya berkata beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan mendedahkan perbincangannya dengan kepimpinan PAS kelmarin berhubung usul meminda akta yang lebih dikenali sebagai akta 355 itu.

Rozaimi (atas) berkata perkara itu mungkin perlu dibuat selepas ada pihak dalam Pemuda PAS didakwa memberi maklumat tidak tepat, bahawa persoalan dibangkitkan Khairudin menyebabkan semua pihak terkesima.

Kenyataan itu dibuat ekoran tulisan Pengarah Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS, Wan Rohimi Wan Daud di Harakahdaily semalam:

“Satu persoalan menarik yang dilontarkan YB Khairudin bahawa: "Jika hudud itu hak Allah, maka bukankah memberikan hak Allah dengan berusaha melaksanakan perintah dan hukum Allah adalah wajib bagi umat Islam?

“Dalam kerangka undang-undang sedia ada, bukankah ia adalah wajib diusahakan? Sekurang-kurangnya bagi tiga kesalahan yang boleh dihukum dengan pindaan Akta 355". Semua terkesima dengan soalan ini!”

Mengulasnya, Rozaimi berkata beliau mempertimbangkan memviralkan rakaman suara pertemuan itu “supaya masyarakat menilai siapa yang terdiam dan siapa yang mengelak menjawab soalan”.

Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Khairuddin juga menjelaskan Juham berhak berkata demikian setelah menjadi pemerhati dalam majlis itu.

Rozaimi kelmarin terlibat dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan PAS, termasuk setiausaha agungnya Datuk Takiyudin Hassan, Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan Khairuddin sendiri.

Turut hadir dalam pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu ialah bekas mufti Perlis yang kini menjadi anggota Dewan Undagan Negeri (ADUN) BN di Sarawak Datuk Dr Juanda Jaya.

Pertemuan itu dilangsungkan selepas Rozaimi mengkritik tindakan sesetengah pimpinan PAS yang didakwa mengafirkan pihak yang tidak sependapat dengan cadangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengemukakan usul meminda Akta 355.

Menurut Juham, Rozaimi tidak bersetuju dengan pindaan itu kerana orang bukan Islam terlepas daripada hukuman, seperti dalam kes zina, berdasarkan pandangan mazhab Shafie, menyebabkan ia tidak dilihat adil.

Lihat Komen
ADS