Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja kontrak maut terhidu gas di Kemaman
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 4:44 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Seorang maut manakala dua rakannya selamat selepas terhidu gas ketika melakukan kerja di loji pemprosesan milik Petronas Gas Berhad (PGB), Kertih, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu menyebabkan mangsa Mohd Marwan Mustafa Afandi, 35, maut manakala rakannya Mohd Zul Aizat Aziz, 23, dan Mohd Yaacob Badrishah, 24 hanya mengalami sesak nafas.

Ketika kejadian dipercayai kesemua pekerja kontrak terbabit dipercayai sedang melakukan kerja pembersihan di dalam sebuah tangki gas metana yang berada pada ketinggian enam meter dari permukaan tanah dan telah dikosongkan untuk kerja penyelenggaraan.

Sebaik sahaja ketiga-tiga mangsa memasuki tangki gas itu, Mohd Marwan tiba-tiba tidak sedarkan diri menyebabkan dua rakannya yang ketika itu masih berada di luar cuba masuk untuk membantu tapi mereka pula sesak nafas sebaik memasuki tangki gas itu.

Namun kedua-duanya sempat keluar semula dan Mohd Marwan kemudiannya dikeluarkan pasukan penyelamat loji itu sebelum dihantar ke klinik di kawasan industri itu sebelum disahkan telah meninggal dunia.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

PGB dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata satu siasatan akan dijalankan berhubung insiden tersebut.

Pihaknya juga pada masa sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS