Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kastam miliki skuad elit bagi operasi bahaya
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 5:07 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini mempunyai skuad elit khas bagi melaksanakan tugas dan operasi berbahaya termasuk menghadapi kumpulan 'tonto', kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau berkata pasukan tindakan cepat pegawai kastam yang mendapat latihan khas daripada Polis Diraja Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya 25 anggota di setiap negeri.

"Pasukan ini akan digunakan bagi serbuan berbahaya," katanya di majlis mesra Ketua Pengarah Kastam Bersama Media di Lapang Sasar Avtec di Sepang hari ini.

Difahamkan skuad berkenaan sudah mula terlibat dalam operasi JKDM kebelakangan ini terutamanya dalam misi mematahkan penyeludupan pelbagai komoditi.

Awal bulan ini seorang pegawai Kastam, Anisah Ali, 54, meninggal dunia setelah kenderaaan yang dinaiki Allahyarham dirempuh tonto ketika mengejar sebuah lagi kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup dalam operasi di Kelantan.

Mengulas mengenai pencapaian bahagian penguatkuasaan JKDM 2016, Khazali berkata sehingga 15 Oktober 2016 pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM387.19 juta melibatkan duti atau cukai sebanyak RM542.10 juta daripada 5,612 kes.

Ia melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan rokok, dadah, kenderaan, minuman keras, mercun dan bunga api.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS